Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

28 April 2025

KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF BAHARU ISUZU FOKUS BANGUNKAN RANGKAIAN, TINGKATKAN KUALITI PERKHIDMATAN

Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia yang baru dilantik, Tomoyuki Yamaguchi akan memberi keutamaan terhadap memperkukuhkan rangkaian pengedar Isuzu, mempertingkat tahap perkhidmatannya serta memastikan bekalan alat ganti sentiasa tersedia bagi menjamin pengalaman yang lebih baik untuk pemilik kenderaan Isuzu. 

Yamaguchi menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu bermula 24 April 2025, menggantikan Shunsuke Okazoe yang kembali ke Jepun untuk menyandang jawatan Timbalan Presiden, Bahagian Jualan Jepun, Isuzu Motors Ltd. 

Merupakan graduan Universiti Toyo, Yamaguchi menyertai Isuzu Motors pada 1997 dan memulakan kerjayanya dengan ditugaskan di Jabatan Operasi Antarabangsa yang menguruskan pasaran seperti Russia dan Ukraine.  Beliau terus terlibat menguruskan pasaran di negara-negara CIS dan beberapa pasaran Asia Barat Daya untuk tempoh lebih sedekad sebelum dipinjamkan ke Isuzu Motors Afrika Selatan di mana beliau bertanggungjawab mengembangkan perniagaan kenderaan perdagangan Isuzu di sana. 

Ditugaskan ke Malaysia, Yamaguchi menyedari kematangan perniagaan serta kukuhnya Isuzu sudah bertapak di sini walaupun dalam tempoh hanya dua dekad. 

“Isuzu Malaysia terus menjadi model cemerlang di gelanggang global. Operasi di sini telah mewujudkan kelompok pelanggan setia yang menghargai ketahanan dan keupayaan kenderaan Isuzu. Ini selari bagi mewujudkan pelanggan sepanjang hayat bagi jenama ini. Bagaimanapun, kami perlu terus mengekalkan kesungguhan tersebut dan sentiasa memastikan pengalaman positif dapat disalurkan kepada setiap pelanggan. Saya berharap dapat bekerjasama erat dengan pasukan dan pengedar kami untuk membawa kepuasan pelanggan ke tahap yang baharu,” jelas Yamaguchi. 

Antara matlamatnya adalah untuk mewujudkan spektrum yang lebih luas bagi perkhidmatan dalaman oleh pengedar, bertujuan untuk memastikan pelanggan menerima perkhidmatan yang terjamin kualitinya. Dengan bertambahnya jumlah kenderaan Isuzu di atas jalan di Malaysia, Yamaguchi turut akan mengutamakan ketersediaan alat ganti melalui proses inventori gudang yang lebih cekap.