UD Trucks Menyabut Ulang Tahun Ke-90

UD Trucks, pembekal kenderaan komersial terkemuka Jepun, bersama rakan pengedar tunggalnya, Tan Chong Industrial Equipment Sdn Bhd (TCIE), baru-baru ini telah menganjurkan majlis makan malam Tahun Baru Cina untuk para pelanggan, rakan kongsi dan pengedar di Pusat 3S Batu Caves (jualan, servis dan alat ganti) yang baru dipertingkatkan oleh TCIE. Majlis ini diadakan untuk meraikan dua pencapaian penting - UD Trucks yang kini berusia 90 tahun dan pembukaan rasmi Pusat 3S ini selepas kerja-kerja pengubahsuaian dan penambahbaikan yang menyeluruh.
Anggaran 200 tetamu yang terdiri daripada pihak pelanggan, pengedar, pengurusan kanan serta kakitangan UD Trucks Malaysia dan TCIE menghadiri majlis tersebut. Majlis itu diraikan dengan jamuan lou sang, kek ulang tahun ke-90, pemotongan reben dan tarian singa untuk merasmikan pembukaan Pusat 3S yang dipertingkatkan ini, serta tayangan video yang menunjukkan semua kemudahan yang ditambahbaik dan lawatan sekitar pusat tersebut. Trak-trak Euro 5 Quester dan Croner terbaharu juga turut dipamerkan sepanjang majlis tersebut.
Steve Hedouin, Pengarah Urusan Hub Malaysia, UD Trucks berkongsi, “Tahun ini menandakan 90 tahun UD Trucks telah menerajui inovasi untuk penyelesaian pengangkutan semenjak ia ditubuhkan pada tahun 1935 oleh Kenzo Adachi. Perjalanan mencapai ulang tahun ini bermula dengan penciptaan enjin diesel kami yang pertama, hingga lah ke hari ini dimana tumpuan kami adalah terhadap penyahkarbonan dan komitmen dalam memupuk kehidupan yang lebih baik untuk manusia dan bumi melalui inovasi logistik pintar. Di Malaysia, kami berbesar hati kerana lebih 45 tahun daripada 90 tahun kewujudan UD Trucks telah dibina dengan sokongan rakan kongsi padu iaitu TCIE.
“Sejak perhubungan kami bermula pada tahun 1978, banyak kejayaan yang kami telah mencapai bersama, terutamanya dalam dekad kebelakangan ini melalui penawaran inovasi baharu trak Quester tugas berat yang terkenal, trak Croner tugas sederhana dan trak Kuzer tugas ringan untuk pasaran ini. Pembukaan Pusat 3S Batu Caves TCIE yang dipertingkatkan ini adalah salah satu daripada pencapaian yang mencerminkan komitmen bersama kami dalam menyediakan penyelesaian dan perkhidmatan pengangkutan berkualiti tinggi untuk para pelanggan.”
Hedouin berkata bahawa UD Trucks akan sentiasa menawarkan inovasi dan penyelesaian transformatif untuk logistik pintar bagi membantu pelanggan-pelanggan mereka menjadi lebih cekap dan berdaya tahan dalam landskap industri yang pantas berubah, serta menyumbang ke arah kelestarian alam sekitar.
Sementara itu, Loh Thim Choy, Pengurus Besar Kanan, TCIE berkata di majlis itu, “Kami berbangga meraikan ulang tahun ke-90 UD Trucks dan menggariskan komitmen kami untuk sentiasa menawarkan produk dan perkhidmatan yang cekap kepada pelanggan dengan pembukaan Pusat 3S Batu Caves yang dipertingkatkan ini. Pusat ini telah ditambahbaik secara menyeluruh dan ini menunjukkan dedikasi kukuh kami dalam meningkatkan pengalaman pelanggan dan kecekapan perniagaan mereka, serta operasi kami sendiri.”
Pusat 3S Batu Caves ini juga berfungsi sebagai lokasi ibu pejabat TCIE dan kini menawarkan pengalaman pelanggan yang lebih baik, bantuan kejuruteraan dan teknikal untuk kerosakan dan penyelenggaraan, serta sokongan perkhidmatan kerosakan 24 jam.
Para pelanggan dan pemandu yang melawat pusat ini akan disambut oleh empat kaunter penerimaan tetamu untuk mengurangkan masa menunggu. Di samping itu, terdapat ruang istirahat dengan sajian minuman ringan dan persekitaran yang tenang, terutamanya untuk para pemandu sementara mereka menunggu kenderaan mereka diperiksa atau diservis.
Dari segi sokongan teknikal, Pusat 3S yang dipertingkatkan ini mempunyai 28 ruang servis dan pembaikan berbanding 14 ruang sebelum ini. Aliran kerja juga lebih lancar kerana 14 ruang dikhaskan untuk kenderaan komersial ringan dan 14 ruang lagi adalah untuk kenderaan komersial sederhana dan berat. Terdapat juga lubang servis yang baru dibina untuk akses mudah pasukan teknikal ke bahagian bawah trak, sekali gus memberikan kecekapan kerja yang lebih baik. Kemudahan lain termasuk bilik khusus untuk baik pulih enjin, alatan khas dan inventori penuh alat ganti.
Loh seterusnya berkata, “Kami percaya bahawa kami akan dapat memupuk hubungan yang lebih erat dengan para pelanggan dengan penyediaan ruang mudah akses dan moden untuk interaksi, serta kemudahan teknikal yang luas bagi menyokong operasi armada mereka dengan lebih baik. Selain produk, para pelanggan juga memerlukan sokongan menyeluruh daripada rakan kongsi yang sentiasa bersedia, boleh dipercayai dan komited untuk menyelesaikan cabaran mereka dan membantu mereka mencapai kejayaan. Oleh sebab itu, TCIE bangga berpegang pada janji kami untuk sentiasa bersedia melalui panggilan dan selalu tepat pada masa."
“Kami berpuas hati dengan pencapaian Pusat 3S Batu Caves ini tetapi usaha kami belum tamat. Kami merancang untuk menaikkan taraf beberapa pusat pengedar yang lain. Tambahan lagi, kami hendak mengembangkan rangkaian pengedar dengan pusat baharu di Klang serta lokasi-lokasi utama yang lain. Ini adalah untuk mengukuhkan lagi jangkauan kami kepada para pelanggan. Tahun ini pasti akan menyaksikan usaha giat kami berterusan,” akhirinya.