Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

Published: 07 March 2024

Unit Pertama Rangkaian Trak UD CKD Euro 5 Dihasilkan Secara Rasmi di Saluran Pengeluaran di Malaysia

UD Trucks dan pengedar tunggalnya, Tan Chong Industrial Equipment Sdn Bhd (TCIE) baru-baru ini telah mengeluarkan unit-unit terawal model pemasangan tempatan (CKD) rangkaian trak Euro V yang merangkumi model tugas berat UD Quester dan tugas sederhana UD Croner. Aktiviti pemasangan tempatan itu dijalankan di kilang Segambut oleh pihak Tan Chong Motor Assemblies Sdn Bhd (TCMA).  

 

Rangkaian trak Euro V UD Trucks mula dilancarkan pada suku keempat tahun lalu. Ia menampilkan enjin Euro V yang dilengkapi teknologi Selective Catalytic Reduction (SCR) UD Trucks yang mampu meningkatkan aspek perlindungan alam sekitar dan penjimatan bahan api secara ketara.

 

UD Trucks bersama TCIE merupakan jenama Jepun pertama yang melancarkan dan memasang trak tugas berat dan sederhana Euro V, melebihi piawaian Euro IV yang akan berkuat-kuasa mulai 1 April 2024 di Malaysia.

 

Pengarah Urusan Hub Malaysia UD Trucks, Steve Hedouin berkata, “Sebagai perintis dari segi kelestarian di kalangan jenama trak Jepun di peringkat global serta memiliki sejarah panjang dalam inovasi, UD Trucks komited untuk terus menawarkan teknologi kawalan emisi terbaik demi memberikan kecekapan operasi dan alam sekitar yang lebih bersih. Rangkaian trak Euro V baharu kami membuktikan matlamat korporat kami dalam mencipta kehidupan lebih baik (Better Life) untuk manusia, planet dan perniagaan menerusi penyelesaian pengangkutan yang mapan.

 

“Rangkaian trak Euro V baharu dipasang tempatan oleh rakan kongsi kami, Tan Chong Group, yang mempunyai pengalaman luas. Ini akan memberikan pelanggan di Malaysia peluang untuk menerima perubahan positif dan menjadi lebih kompetitif dalam mendepani cabaran operasi logistik mereka pada masa depan. Kami yakin rangkaian trak Euro V Quester dan Croner CKD baharu akan memberi kemapanan terhadap proses dan operasi logistik pelanggan.”

 

Ketua Pegawai Operasi TCIE, Say Teck Ming berkata, “Sebagai sebahagian daripada Tan Chong Group, kami berbangga kerana dapat menghasilkan trak Euro V Quester dan Croner CKD baharu, sekali gus membuktikan kerjasama rapat di antara UD Trucks dan TCIE.

 

“Kami telah memasang trak tugas berat Quester dan tugas sederhana Croner sejak tahun 2016 dan 2018. Jadi, usaha pemasangan rangkaian trak Euro V baharu adalah sesuatu yang sudah dijangka, rasional dan memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan, terutama para pelanggan.

 

“Menampilkan enjin dengan kawalan emisi baharu dan naik taraf yang signifikan, trak Euro 5 UD dapat membantu mengurangkan impak kepada alam sekitar, meningkatkan kecekapan perniagaan dan meminimumkan kos keseluruhan pemilikan dalam operasi logistik pelanggan. Malah, trak-trak ini juga akan menawarkan kecekapan pengendalian pada julat harga yang mampu milik kepada mereka.”

 

Menurut syarikat, pengeluaran CKD di kemudahan TCMA melibatkan aspek pemasangan kabin, kemasan, chasis dan pemeriksaan akhir trak berkenaan. Pemasangan di TCMA disokong oleh pasukan pengilangan UD Trucks International melibatkan aspek proses dan peralatan bagi persediaan pemasangan, latihan pekerja operator di saluran pemasangan, kawalan kualiti dan pemeriksaan bagi memastikan kelancaran serta hasil yang baik di setiap peringkat. 

 

Syarikat juga memberitahu bahawa buat masa sekarang mereka telah menerima sejumlah tempahan daripada beberapa pelanggan logistik utama dan pengeluaran CKD sedia ada akan memenuhi permintaan tersebut. Unit pengeluaran akan ditingkatkan selari dengan permintaan baharu.

 

Jelas Say lagi, “Kebanyakan pelanggan setia kami sebenarnya telah menyatakan kesediaan untuk terus menyokong aspek kelestarian alam sekitar dan melaksanakan penyelesaian pengangkutan yang lebih mesra alam. Apabila mereka ingin bergerak ke arah itu, UD Trucks dan TCIE akan sentiasa bersedia membantu mereka dalam beralih kepada pengangkutan yang lebih bersih dengan kos efektif untuk jangka masa panjang.”

 

Rangkaian model Euro 5 baharu menampilkan teknologi Selective Catalytic Reduction (SCR) untuk meningkatkan perlindungan alam sekitar dan menjimatkan bahan api dengan signifikan. Dengan teknologi ini, nitrogen oksida kini 60% lebih kurang dan emisi partikel berkurang sebanyak 80% berbanding tahap Euro III. Bukan itu sahaja, enjin Euro 5 juga lebih jimat minyak dan rendah emisi CO² berbanding trak Euro III yang sama.

 

AdBlue, satu bendalir ekzos diesel yang selamat untuk digunakan pada kenderaan dengan teknologi SCR dan berfungsi mengurangkan gas-gas berbahaya dilepaskan ke atmosfera boleh diperolehi di semua 26 cawangan dan pengedar TCIE di seluruh Malaysia.