Barisan Isuzu D-Max Dipertingkatkan Untuk 2023
Barisan Isuzu D-Max telah diberikan beberapa kemaskini bagi tahun 2023, membolehkan trak pikap yang sangat laris itu mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai sebuah trak pilihan ramai.
Paling utama adalah pengenalan warna baharu bagi varian flagship X-Terrain dan Premium melalui warna baharu Islay Gray Mica yang menyuntik penampilan lebih bergaya kepadanya. Kedua-dua varian itu juga turut ditawarkan dengan dua warna putih — Dolomite White Pearl dengan tona lebih menarik berbanding warna lama Silky Pearl White. Satu lagi warna baharu ialah Biarritz Blue Metallic yang menggantikan Sapphire Blue, ditawarkan hanya untuk varian Automatic Premium, Auto Plus dan Automatic Standard.
Turut memberikan penampilan berbeza kepada trak pikap ini adalah rekaan gril, rim dan kemasan badan yang baharu, yang menjadikannya lebih sporty dan dinamik.
Di dalam, tempat duduk menerima sentuhan rekaan baharu dan disudahi dengan warna hitam menawan bagi sebahagian besar barisan variannya. Bagi X-Terrain flagship, rupa baharu kerusinya menampilkan kontras Cafe Brown bagi kebanyakan permukaan lembut yang ada.
“Isuzu D-Max telah mengorak langkah bermakna dengan menjadi trak pikap yang inovatif, canggih, selamat dan tangkas yang hadir dengan penampilan ranggi dan moden. Bagi tahun 2023, kami meningkatkan lagi kemaskini yang diberikan kepada trak ini,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe.
Selain daripada penampilan baru yang lebih segar, X-Terrain kini datang dengan perakam video digital untuk memudahkan lagi pengguna merakam situasi semasa ketika pemanduan melalui kamera depan dan juga belakang. Kamera berkenaan dipasang ke dalam modul ADAS dan merakam imej video 1440P yang jelas di depan, sementara di belakang pula dengan definisi rakaman tinggi 1080P. Video boleh disimpan di dalam kad memori sedia ada atau dimuat turun ke telefon menggunakan aplikasi.
Ciri baharu lainnya termasuklah lampu suasana di bahagian kaki di dalam X-Terrain. Selain memudahkan penglihatan pengguna untuk naik dan turun dari trak, ia juga merupakan satu sentuhan menarik bagi sebuah trak pikap seperti D-Max.
Untuk lebih kemudahan, varian X-Terrain, Premium dan Auto Plus kini dilengkapi dengan pengecas tanpa wayar dengan output 15W dan membolehkan pengecasan lebih cepat. Dua varian teratas juga menerima ciri tambahan slot USB-C bagi pengecasan pantas.
Berita baik bagi pelanggan Isuzu D-Max yang memanfaatkan keupayaan pemanduan off-road; semua varian dengan ciri 4x4 kini datang dengan ciri tambahan differential-lock belakang kawalan elektronik. Diff-Lock berkenaan memberikan kelegaan fikiran ketika melalui jalan off-road memandangkan ia menyediakan cengkaman tambahan di permukaan tidak rata atau licin.
Kemaskini lain yang diberikan termasuklah ciri kawalan tanpa kunci jarak jauh baharu dan soket 12V untuk varian Single Cab. Sementara itu, varian 3.0 liter Automatic Premium menerima tetapan suspensi yang diperbaharui untuk menampung lebih beban, naik dari 580 kg kepada 775 kg — pertambahan sebanyak 195 kg, untuk memenuhi keperluan penggunaan di Malaysia Timur.
“Kebanyakan kemaskini yang diberikan untuk Isuzu D-Max tahun ini adalah hasil daripada kerjasama erat antara Isuzu dengan pengedarnya. Melalui kesefahaman yang erat terhadap keperluan pelanggan, kami berhasil untuk membawakan peningkatan yang memenuhi keperluan dan kehendak pengguna Isuzu D-Max,” jelas Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo.