Skip to main content

News in:  BM | TH | CN


UD TRUCKS BUKA PUSAT 2S BAHARU YANG LEBIH BESAR DI KUANTAN
Reading time: 3 minutes
images/newsimages/2026/UD_Trucks_Regio_Director_for Southeast_AsiaEastAsiaKeiichiroOchiaiTCIE_sCOOLohThim_Choy.jpg

UD Trucks, bersama rakan pengedar tunggalnya Tan Chong Industrial Equipment Sdn Bhd (TCIE), telah merasmikan pembukaan pusat 2S baharu di Kuantan. Terletak di lokasi yang strategik atas tapak seluas 1.3 ekar di Lot 33021, Kawasan Perindustrian Semambu, pusat baharu ini menawarkan kemudahan yang dipertingkatkan, kapasiti yang lebih besar, serta sokongan selepas jualan yang komprehensif bagi membantu pelanggan memaksimumkan masa operasi perniagaan mereka.

Fasiliti tersebut diuruskan oleh TC Trucks After Sales Sdn Bhd (TCTAS), iaitu syarikat yang serumpun dengan TCIE. Ia menggantikan fasiliti terdahulu yang terletak berhampiran kerana kapasitinya yang terhad ekoran peningkatan jumlah pelanggan UD Trucks di wilayah pantai timur.

Pengarah Wilayah UD Trucks untuk Asia Tenggara & Asia Timur, Keiichiro Ochiai, berkata, “Pembukaan pusat 2S yang lebih besar di Kuantan ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam komitmen kami untuk menyediakan kenderaan komersial yang menerajui industri serta perkhidmatan yang berkualiti. Fasiliti baharu ini meningkatkan keupayaan kami dari segi perkhidmatan pelanggan, memastikan kecekapan operasi mereka, serta mengukuhkan kedudukan UD Trucks sebagai jenama pilihan yang dipercayai di pasaran.”

Ketua Pegawai Operasi TCIE, Loh Thim Choy, turut berkongsi, “Pusat 2S baharu ini membolehkan kami memberi sokongan yang lebih mantap kepada semua pelanggan sedia ada mahupun pelanggan baharu. Kami bertekad untuk berkembang selaras dengan pertumbuhan perniagaan dan keperluan mereka, lalu memastikan bahawa mereka sentiasa akan mendapat sokongan padu daripada kami sepanjang tempoh pemilikan kenderaan.”

“Kami membina fasiliti ini dengan mengutamakan keperluan para pelanggan. Ia menawarkan akses yang lebih mudah serta kesalinghubungan komersial, di samping keupayaan bengkel yang lebih baik. Kami komited menjadi rakan kongsi yang boleh dipercayai para pelanggan dari peringkat awal pembelian trak dan seterusnya,” tambahnya.

Pusat 2S baharu ini menampilkan lapan ruang bengkel pandu lalu yang luas, ruang parkir trak yang mencukupi, serta peralatan diagnostik, penyelenggaraan dan pembaikan yang komprehensif bagi mempercepatkan proses kerja justeru meningkatkan masa operasi kenderaan. Direka dengan menitikberatkan kelestarian, kemudahan ini turut dilengkapi sistem pengurusan cecair kimia dan sisa yang sewajarnya. Tambahan lagi, kemudahan seperti ruang solat, ruang rehat, dan sudut sajian minuman turut disediakan untuk keselesaan para pemandu.

Sempena majlis pembukaan pusat baharu ini, UD Trucks dan TCIE telah mengadakan upacara penyerahan trak kepada pelanggan setia mereka. Len Fatt Machineries Sdn Bhd menerima satu unit trak UD Trucks model Kuzer SKE yang dilengkapi dengan kren kargo.

Kawasan Perindustrian Semambu terletak secara strategik di utara pusat bandar Kuantan. Ia berfungsi sebagai salah satu hab perindustrian utama di Kuantan, menempatkan pelbagai sektor termasuk pembuatan, kejuruteraan, logistik, dan pergudangan. Kawasan ini juga mempunyai akses kepada rangkaian jalan raya utama dan terletak berhampiran dengan pelabuhan Kuantan.

Para pelanggan di Kuantan dan negeri-negeri sekitarnya kini boleh menikmati fasiliti yang lebih besar, keupayaan selepas jualan yang lebih luas, serta ketenangan fikiran yang berterusan melalui perjanjian servis komprehensif UD Trucks dan Bantuan Tepi Jalan 24/7 daripada TCIE. Kesemua ini membantu dalam memastikan operasi trak dan perniagaan pelanggan berjalan lancar.