Pastikan ayam-ayam ini terus hidup!
Bulan ini, kami mendekati para pemandu yang membawa kargo yang sedikit istimewa: ayam hidup.
Malaysia sangat panas dan kita orang Malaysia lebih-lebih lagi, sangat memahami perkara ini. Cuaca panas ini sangatlah mencabar bagi pemandu trak yang membawa ayam hidup. Pemandu trak kita bulan ini, Mr Siva, 31, telah membawa 3300 ayam setiap hari selama tujuh tahun.
Walaupun waktu bekerjanya tidaklah tetap, namun ia dikawal oleh keperluan kargo yang ingin dipindahkan itu. Perkara pertama setiap hari (iaitu setiap lewat hari) adalah untuk mengangkut ayam-ayam daripada ladang sebelum ia dihantar ke pelanggan di seluruh Malaysia. Dan ini memang selalunya berlaku pada waktu petang. “Ayam akan mati jika cuaca terlalu panas, maka, kita perlu sentiasa membasahkan mereka dengan air. Menyembur mereka dengan air dan membawa mereka di waktu malam adalah cara terbaik untuk menghantar ayam pada perjalanan yang panjang,” jelas Siva.
Kerjaya Siva memerlukan beliau memandu pada waktu siang dan malam, dengan itu mewajibkan beliau untuk, bukan sahaja fokus kepada keselamatan trak dan ayam yang diangkut, tetapi juga kesihatan tubuh badannya sendiri. Beliau turut menyatakan bahawa beliau akan menyertai jiran tetangga bermain bola pada hari cuti dan inilah cara beliau mengekalkan stamina.
“Saya tidak mempunyai masalah penglihatan pada waktu malam, tetapi perasaan mengantuk tidaklah mustahil dan ketika perkara ini berlaku, saya akan selalu berhenti dan ‘power nap’ berbanding memaksa diri untuk meneruskan panduan.” Tambahan pula, beliau mengatakan bahawa pembantunya, Mr Reana, membantunya terus berjaga dengan sentiasa bercakap, dan perkara ini memang berkesan menurutnya.
“Saya tidak memilih kerja ini, tetapi kerja ini memilih saya dan tiada masalah dengan perkara ini kerana saya dapat berjalan ke seluruh Malaysia serta masa kerja saya sangat fleksibel. Mudah sahaja untuk saya bercuti dan saya juga tidak menyukai kerja yang memerlukan pakaian sut dan tali leher. Dengan kerja yang saya buat ini, saya mendapat duit cukup untuk menyara diri dan keluarga, serta yang paling penting, saya menikmati apa yang saya buat sekarang.” Kata beliau sambil tersenyum.