Published: 18 November 2018
Malam Penghargaan Untuk Pelanggan Komersial Setia Isuzu Malaysia (Lembah Klang)
Baru-baru ini, Isuzu Malaysia Sdn. Bhd. telah menganjurkan Malam Apresiasi Pelanggan 2018 di Glasshouse at Seputeh di Kuala Lumpur, bagi meraikan para pelanggan kenderaan komersial setia daripada kawasan Lembah Klang. Majlis yang gilang-gemilang tersebut diadakan sebagai tanda penghargaan Isuzu Malaysia terhadap sokongan teguh yang telah ditunjukkan oleh para pelanggan setia selama ini.
Malam Penghargaan Pelanggan 2018 ini telah menerima kehadiran seramai 200 jemputan yang kebanyakannya terdiri daripada para pelanggan setia Isuzu, pihak pengurusan dan wakil daripada ibu pejabat Isuzu Malaysia, pengedar-pengedar sah Isuzu dan ahli-ahli media.
Untuk memeriahkan lagi majlis, 50 syarikat telah dijemput secara eksklusif, di mana tarikan utama yang telah diadakan merupakan acara penyerahan Anugerah Penghargaan kepada para pelanggan setia yang terpilih. Di atas sokongan padu kerana sentiasa memilih jenama Isuzu sebagai pilihan No. 1 untuk kenderaan komersial, sebanyak 17 syarikat menerima anugerah serta penghargaan istimewa daripada pihak Isuzu Malaysia.
Majlis dimulakan dengan persembahan gendang Taiko Jepun yang menghiburkan, diikuti dengan ucapan alu-aluan dan ucapan selamat yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Koji Nakamura.
Seterusnya, Ketua Pegawai Operasi, Atsunori Murata, telah mengambil kesempatan untuk menyampaikan kata-kata penghargaan kepada semua jemputan yang sudi meluangkan masa untuk menghadiri Malam Penghargaan. Pelanggan 2018, walau pun mempunyai kekangan masa dan kesibukan menguruskan perniagaan masing-masing. Dalam ucapannya, Murata berkongsi bahawa sokongan dan kepercayaan teguh yang telah ditunjukkan oleh rakan-rakan perniagaan selama ini telah membantu Isuzu mengekalkan kedudukan No. 1 sebagai jenama kenderaan komersial pilihan, berdasarkan jumlah jualan seluruh dalam kesemua segmen di Malaysia, untuk empat tahun berturut-turut, dari tahun 2014 hingga ke 2017.
Selanjutnya, Ryo Kakogawa, selaku Ketua Pegawai Operasi Bahagian Selepas Jualan, berkongsikan kesungguhan dan komitmen Isuzu Malaysia untuk sentiasa memastikan perkhidmatan dan sokongan selepas jualan yang terbaik, supaya para pelanggan komersial dapat menguruskan perniagaan mereka tanpa sebarang kerisauan. Dengan adanya Pusat Servis Isuzu (Isuzu Service Centre, atau ISC), iaitu sebuah perkhidmatan selepas jualan komprehensif yang berpusat di Shah Alam, para pelanggan dijanjikan tahap penjagaan kenderaan yang lebih terperinci, profesional dan efisien, selain daripada tempoh servis yang lebih pantas dan menyeluruh.
Seterusnya, majlis penyampaian anugerah telah dilangsungkan untuk pelbagai kategori. Sejumlah 27 anugerah telah dipersembahkan, antaranya ‘Anugerah Penghargaan Pelanggan untuk Trak Tugas Ringan’, ‘Anugerah Penghargaan Pelanggan untuk Trak Tugas Sederhana’, ‘Anugerah Penghargaan Pelanggan untuk Trak Tugas Berat’ dan ‘Anugerah Pelanggan CV Tahun 2018’.
Malam Penghargaan Pelanggan 2018 juga telah diserikan lagi dengan beberapa persembahan menarik, antaranya Persembahan Animasi Kesenian Pasir yang mengasyikkan, dan komedi berdiri yang menghiburkan oleh pelawak tempatan, Dr. Jason Leong.