Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

Published: 06 January 2021

Heba Eltarifi adalah Pengarah Urusan baharu bagi Scania Southeast Asia yang berpangkalan di Malaysia

Heba Eltarifi adalah Pengarah Urusan baharu bagi Scania Southeast Asia yang berpangkalan di Malaysia. Beliau akan mengambil alih peranan ini pada 1 Januari 2021, yang juga merupakan tahun Scania Malaysia menyambut 50 Tahun Pertamanya di negara ini.

Mahir dalam perancangan dan pelaksanaan perniagaan strategik, pengurusan pihak berkepentingan dalaman dan luaran, pengurusan operasi, serta transformasi perniagaan dan proses, beliau telah membina pasukan berprestasi tinggi dan mendorong budaya pencapaian dalam peranan pengurusan kanan beliau sebelum ini sebagai Ketua Pegawai Kewangan
Scania Australia. Heba, yang bertanggungjawab mengurus bahagian Kewangan serta Perolehan IT di Australia, dan juga untuk operasi komersial seperti Jualan Trak Terpakai dan Penyewaan Trak, mempunyai pengalaman luas dalam perniagaan ini sejak dua dekad yang lalu. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Perdagangan, Diploma Program Pengurusan Eksekutif FEM dari ‘Stockholm School of Economics’ dan merupakan seorang Akauntan
Bertauliah.

Heba membawa bersamanya keghairahan, kecekapan dan komitmen kepada peranan Pengarah Urusan di Scania Southeast Asia. Beliau yang sudah berkahwin dan  mempunyai seorang cahaya mata, gemar melancong, membaca, mendengar muzik dan bersenam pada masa lapang. 

“Scania akan terus menyokong sektor logistik, pembinaan dan perkhidmatan awam, dengan membawa orang ramai dan barangan setiap hari di seluruh rantau dan juga negara ini. Kami akan terus membantu pelanggan kami mencapai keuntungan terbaik di samping memenuhi matlamat kelestarian mereka,” kata Heba. “Sesungguhnya, tiada apa yang lebih mencabar daripada kesan ekonomi yang dihadapi oleh pelanggan kami di seluruh rantau akibat pandemik ini. Saya yakin saya dan pasukan saya akan terus maju dan muncul lebih teguh berbanding sebelum ini demi pelanggan kami.” 

Scania Southeast Asia adalah unit perniagaan yang beribu pejabat di Malaysia. Ia menyokong pasaran Malaysia dan Singapura dengan pusat jualan dan perkhidmatan yang khusus. Sokongan untuk pasaran Vietnam, Myanmar, Filipina, Brunei dan Kemboja disediakan oleh peniaga swasta yang disahkan. Scania memulakan operasinya di Malaysia pada tahun 1971 apabila trak LB110 Scania yang pertama tiba di Pelabuhan Klang untuk dihantar ke Kontena Nasional. Trak pertama yang dipasang dalam negara, dan bas bandar bertingkat rendah yang pertama telah dihantar pada tahun 1994. Kemudian pada tahun 2006, Scania menghantar trak siri PGR yang pertamanya. Trak BDouble yang pertama tiba di Malaysia pada tahun 2012. Pada tahun 2013, Scania Credit Malaysia menyediakan servis kewangannya yang pertama. Tahun 2014 menyaksikan ‘Scania Assistance’ memulakan bantuan tepi jalan 24 jam sehari yang pertama dan ‘Fleet Management System’ diperkenalkan buat kali pertama. Segala usaha Scania telah diiktiraf apabila ia merangkul Anugerah Pengangkutan Bandar Lestari (Sustainable Urban Transport Award) pada tahun 2017. Tahun 2018 pula menyaksikan pencapaian jumlah tertinggi dalam penjualan kenderaan, termeterainya perjanjian dengan pelanggan pertama Scania Ecolution, dan sekolah pertama diterajui oleh “Master
Sustainability by Scania”. Ini diikuti dengan penghantaran ‘New Truck Generation’, iaitu pemenang anugerah ‘Trak Antarabangsa Terbaik’ (International Truck of the Year) pertama pada tahun 2019, dan trak Scania XT ke Sarawak pada tahun 2020. Baru-baru ini, Scania Malaysia juga mengumumkan bahawa pelanggan perkongsian Ecolution berjaya mengurangkan jumlah pelepasan karbon dioksida (CO2) yang setara dengan penanaman 10 000 pokok yang tumbuh mekar sepanjang tahun yang lepas. 

“Saya akan meneruskan kepemimpinan Scania dalam memacu peralihan ke arah sistem pengangkutan yang lebih mampan di rantau ini dan juga di Malaysia. Ini akan dicapai dengan sentiasa meletakkan keuntungan dan kemampanan pelanggan sebagai keutamaan kami,” kata Heba. “Saya juga berbesar hati untuk berada di Malaysia pada waktu yang amat penting ini. Saya pasti Scania dan pelanggan kami telah membina asas yang kukuh dalam 50 tahun pertamanya untuk kita terus melonjak ke dalam tempoh 50 tahun akan datang dan selanjutnya.”