ANGKA-TAN MOTOR MENGUATKAN KOMITMEN ESG DENGAN TRAK ELEKTRIK TUGAS RINGAN PERTAMA DALAM PASARAN DI EKSPO KENDERAAN KOMERSIAL MALAYSIA 2024
Angka-Tan Motor Sdn Bhd (ATM), pengedar tunggal Kenderaan Komersial Ringan (LCV) Foton, Foton Auman dan JMC membawa perubahan dalam landskap logistik tempatan dengan melancarkan tiga trak baharu untuk kegunaan pelbagai sektor komersial ringan di Ekspo Kenderaan Komersial Malaysia 2024 hari ini.
Mendahului senarai produk baharu ialah 2024 Foton eAumark, trak tugas ringan elektrik pertama yang ditawarkan secara rasminya di Malaysia. Trak elektrik Foton eAumark BJ1045EVJAR3 memiliki semua kualiti penting untuk membolehkan Foton Aumark muncul sebagai salah satu trak tugas ringan paling dipercayai dalam pasaran kenderaan komersial hari ini, ditambah dengan kelebihan menggunakan teknologi penggerak elektrik penuh demi prestasi lebih mampan serta bersih.
ATM ialah anak syarikat Warisan TC Holdings Bhd dan ahli Tan Chong Group yang nekad untuk memenuhi matlamatnya berkait Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) seiring dengan peralihan negara ke arah mobiliti hijau dengan sasaran sifar pelepasan karbon menjelang 2050. Dengan pelancaran Foton eAumark, ia mencerminkan kesungguhan Kumpulan ini yang berpotensi untuk mengurangkan jejak karbon kenderaan komersial ringan yang merupakan sebahagian besar daripada keseluruhan kenderaan logistik dalam negara.
Dimensi Foton eAumark ialah panjang 5 960mm, lebar 2 000mm dan tinggi 2 210mm. Ia memiliki jarak roda 3,360mm dengan berat kasar kenderaan (GVW) bermula dari 4 250kg hingga 6,000kg. Dikuasakan dengan unit motor elektrik segerak magnet kekal, Foton eAumark mampu menghasilkan output 115kW dan tork lebih 900Nm. Dengan pek bateri ferem fosfat 81.14kWh dari pembekal bateri EV terkemuka CATL, eAumark boleh dipandu sejauh 200km mengikut Kitaran WLTP.
Trenkuasa elektrik penuh itu direka untuk berdepan keadaan cuaca mencabar seperti iklim tropika di Malaysia, dengan pek bateri memenuhi piawaian IP67 rintangan air dan habuk selain ketahanan terhadap suhu tinggi yang dibuktikan melalui titik pencucuhan 600°C. Ia juga menyalurkan 10kW ke soket ePTO sebagai sumber kuasa elektrik untuk sambungan perkakas luaran atau struktur khas.
Foton eAumark hadir dengan lampu depan LED serta sistem ADAS untuk memastikan keselamatan berada pada tahap maksimum sepanjang masa. Ruang kabin cukup luas dengan ukuran lebar 1,880mm untuk keselesaan optimum. Ciri lain termasuk stereng kuasa elektronik (EPS), pemilihan gear jenis tombol dan kluster instrumen LCD yang memaparkan semua maklumat penting termasuk status kuasa bateri dan jarak untuk memastikan kokpit mesra pemandu. Malah ia turut dilengkapi sistem penyaman udara cekap tenaga untuk menambah baik kualiti sifat mampan trenkuasa elektrik penuh.
Foton eAumark adalah trak ringan ideal untuk perniagaan setempat dalam semua industri yang mahu mengurangkan jejak karbon semasa pemanduan. Setiap eAumark yang dijual disertakan bersama kotak pengecas kotak dinding 22kW AC percuma untuk membolehkan trak sentiasa berada dalam keadaan cas penuh jika tidak digunakan. Selain alat pengecas AC, pemilik boleh menggunakan kemudahan stesen pengecas pantas (DC) yang ada di seluruh negara. eAumark boleh dicas penuh dari 20 peratus keadaan cas (SoC) dalam tempoh sejam, menggunakan alat pengecas DC.
“Sektor pengangkutan global ketika ini ditentukan oleh corak peralihannya ke arah e-mobiliti. Tiada sebab mengapa peralihan ini harus dihadkan kepada kenderaan penumpang, dengan mengambil kira kesan perniagaan besar ke atas jejak karbon negara. ATM menikmati hubungan kerja keras tempoh panjang bersama Foton dan kami sememangnya percaya terhadap kepakaran mereka dalam tenaga baharu, yang terhasil dari pengalaman lebih 20 tahun dalam aspek penyelidikan dan pembangunan. Kami percaya Foton eAumark elektrik ada kelebihan untuk menentukan corak peralihan sektor trak tugas ringan di Malaysia serta membantu perniagaan tempatan dalam proses mencapai objektif kelestarian mereka.” kata Tan Keng Meng, Ketua Pegawai Eksekutif Warisan TC Holdings Bhd.
Pada ketika keperluan terhadap sektor logistik Malaysia semakin bertambah dan menjadi tumpuan di Ekspo Kenderaan Komersial Malaysia 2024, ATM mengakui kepentingan keperluan kenderaan komersial konvensional dalam industri. Dilancarkan bersama Foton eAumark ialah 2024 Foton Aumark S Euro 4, yang dibina menggunakan formula terbukti merangkumi aspek keselamatan, pelbagai guna, kuasa, kecekapan dan ketahanan jenama Aumark S dengan menambah baik pelepasan karbon untuk memenuhi standard Euro 4 yang diwajibkan Kerajaan Malaysia.
Foton Aumark S Euro 4 ditawarkan dengan pilihan empat dan enam roda. Aumark S BJ1065 Euro 4 4-roda boleh ditetapkan jarak roda 2,800mm atau 3,360mm dan dikuasakan enjin Cummins ISF 2.8-liter dengan kotak gear ZF manual lima kelajuan. Sementara itu, Aumark S BJ 1088 Euro 4 6-roda dilengkapi enjin lebih besar 3.8-liter dan kotak gear ZF enam kelajuan. Kedua-dua trenkuasa sudah dinaik taraf untuk memenuhi piawaian Euro 4 dan keperluan biodiesel B20 bagi menambah baik kecekapan operasi.
Selain Foton eAumark serba baharu, Aumark S Euro 4 membuktikan prestasi yang boleh dipercayai selari dengan jenama Aumark. Sebagai satu produk “Pakatan Inovasi Trak Super Global”, Foton Aumark sudah menjalani ujian sejauh 1.6 juta kilometer dunia sebenar dengan mengharungi pelbagai permukaan jalan, cuaca serta ketinggian. Foton Aumark menguatkan reputasinya sebagai trak boleh dipercayai dan popular dunia, dengan lebih 4 juta unit dihasilkan dan dijual sejak 2003.
Turut menyertai pelancaran Foton eAumark dan Aumark S Euro 4 ialah sebuah trak pikap ringan jenama JMC yang turut diedarkan oleh ATM. 2024 JMC Vigus Pro White Series 4x2 Euro 4 ialah varian terbaharu dalam rangkaian produk JMC Vigus Pro di Malaysia. Ia adalah model paling mampu milik dalam rangkaian produk selain JMC Vigus Pro White Series 4x4 dan model perdana JMC Vigus Pro Premium Series 4x4. Daripada tiga varian ini, Vigus Pro White Series 4x2 baharu ialah varian tunggal yang menggunakan Sistem Pacuan 4x2, menjadikannya trak bandar paling sesuai untuk PKS serta syarikat pemula.
Seperti semua varian dalam katalog JMC Vigus Pro, White Series 4x2 juga dikuasakan enjin diesel ikonik 2.0-liter Puma 4-silinder dengan pengecas turbo. Transmisi automatik digunakan ZF lapan kelajuan dengan pemilih gear elektronik dan paddle shifter yang menjadikan pemanduan lebih lancar dan menarik. Vigus Pro White Series 4x2 Euro 4 dilengkapi kemudahan moden seperti skrin infotainmen sesentuh 8-inci dan pengelap cermin dengan sensor hujan selain memainkan tugas cemerlang sebagai trak serbaguna dengan kemampuan membawa muatan 950kg di atas katil kargo.
“Campuran produk yang dipilih untuk diperkenalkan di Ekspo Kenderaan Komersial Malaysia 2024 menunjukkan kami ingin memperkasa perniagaan secara menyeluruh dalam industri, dari syarikat pemula dan PKS kepada syarikat-syarikat multinasional pada ketika globalisasi pesat berkembang serta pembangunan e-dagang. Sama ada ia menggunakan logo Foton atau JMC, semua trak baharu kami berkongsi objektif sama untuk menawarkan pilihan pengangkutan boleh dipercayai dan mampan bagi memenuhi permintaan komersial dan persekitaran yang kian bertambah,” jelas Tan.
Foton eAumark BJ1045EVJAR3 elektrik penuh ditawarkan pada harga pengenalan RM238,000. Setiap trak eAumark didatangkan dengan jaminan pengilang termasuk kabin dan casis sehingga tiga tahun atau 100,000km, yang mana tiba dulu. Sebagai tambahan, unit motor, bateri 81.14kWh dan alat pengawal dilindungi jaminan lima tahun dengan had perbatuan sehingga 200,000km.
Harga Foton Aumark S BJ1065 Euro 4 4-Wheeler bermula dari RM98,400. Foton Aumark S BJ1088 Euro 4 6-Wheeler dijual pada harga kompetitif bermula dari RM115,300. Semua trak Foton Aumark S disokong jaminan mendahului industri iaitu 6-tahun/300,000km demi ketenangan minda. Pihak yang berminat dijemput untuk melawat bilik pameran Foton atau hubungi nombor 03-5638 6888 untuk maklumat tambahan.
Sementara itu, JMC Vigus Pro White Series 4x2 ditawarkan pada harga RM89,999 di Semenanjung dan RM91,999 di Sabah dan Sarawak. Sama seperti model White Series 4x4, ia juga dilindungi jaminan tiga tahun/100,000km.
Foton eAumark, Foton Aumark S Euro 4 dan JMC Vigus Pro White Series 4x2 akan dipamerkan di Booth M14 di Ekspo Kenderaan Komersial Malaysia 2024 bertempat di Pusat Konvensyen & Pameran Antarabangsa MINES (MIECC) sehingga 11 Mei 2024.