Sunmaju Terajui Usaha Kurangkan Impak Alam Sekitar Dengan UD Trucks Euro 5 Quester
Sunmaju Sdn Bhd (Sunmaju), pedagang bahan api komersial kini menerajui usaha ke arah lebih lestari apabila menjadi syarikat pertama dalam segmen petroleum di Malaysia yang menyenaraikan kenderaan komersial terbaharu Euro 5 UD Trucks ke dalam barisan lorinya. Peristiwa bersejarah ini diraikan dalam satu majlis yang menyaksikan dua unit trak tugas berat Euro 5 Quester yang dibeli oleh Sunmaju menerusi pengedar Tan Chong Industrial Equipment Sdn Bhd (TCIE) di Batu Caves diserahkan kepada mereka.
Sunmaju merupakan sebuah syarikat tempatan yang dibina sejak lebih 20 tahun lalu. Ia memulakan perniagaannya secara kecil-kecilan dengan hanya dua buah lori tangki diesel. Pada tahun 2005, syarikat telah membeli trak UD Trucks pertama untuk membantu menjalankan operasi perniagaannya. Kini, Sunmaju sudah memiliki 57 unit trak UD serta menjadi rakan komersial bahan api sah untuk syarikat-syarikat minyak terkenal seperti Petronas, Shell dan Petron di Malaysia.
Pengarah Sunmaju Sdn Bhd, John Foo pada majlis penyerahan itu berkata, “Kami berbesar hati dan berbangga kerana menjadi syarikat pertama dalam segmen petroleum di Malaysia yang menggunakan UD Trucks Euro 5 Quester. Ini membuktikan komitmen kami untuk menjadi sebuah syarikat yang bertanggungjawab kepada alam sekitar dan sosial.
“Operasi perniagaan kami bukan sahaja membawa diesel, malah petrol dan bahan api jet ke seluruh negara. Jadi, kualiti dan kebolehpercayaan sesebuah trak sangat penting kerana ia dapat memastikan keseluruhan operasi kami boleh berjalan dengan selamat dan lancar.”
Beliau juga memberitahu bahawa Sunmaju telah menggunakan trak UD selama hampir 20 tahun. Sokongan selepas jualan teknikal TCIE yang menyeluruh dan sistem telematik yang menawarkan kemas kini pada masa sebenar telah menjadi pengubah penting untuk operasi rangkaian trak yang lebih teratur.
“Rangkaian trak adalah tulang belakang kepada kejayaan kami serta memacu perjalanan Sunmaju yang dibina di atas konsep inovasi dan kerjasama. Dengan semua sokongan ini, kami yakin akan boleh terus berkembang dan menyumbang ke arah kelestarian yang lebih baik menerusi trak-trak Euro 5 Quester baharu ini. Kami sangat teruja untuk memberitahu yang kami berhasrat menambah lebih banyak unit Euro 5 Quester pada masa depan bagi menggantikan trak-trak Euro 3,” katanya.
Trak tugas berat Euro 5 Quester dan trak tugas sederhana Euro 5 Croner telah diperkenalkan tahun lalu, lebih awal daripada pelaksanaan garis panduan emisi Euro 4 di Malaysia. Trak-trak yang dipasang tempatan di kemudahan Tan Chong Motor Assemblies Sdn Bhd itu dilengkapi satu ciri utama iaitu teknologi Selective Catalytic Reduction (SCR) yang berupaya meningkatkan penjimatan bahan api dan perlindungan alam sekitar.
Pengarah Urusan Hub Malaysia UD Trucks, Steve Hedouin berkata, “Kami ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Sunmaju kerana memilih trak Euro 5 Quester. Penyerahan pada hari ini menjadi bukti semangat Sunmaju sebagai perintis dalam mentransformasikan industri, seterusnya berada selangkah di hadapan berbanding pemain lain dalam usaha untuk mengurangkan impak ke atas alam sekitar.”
Menurut UD Trucks, trak-trak Euro 5 mampu mengurangkan emisi partikel halus (PM) sehingga 80 peratus dan nitrogen oksida (NOx) sebanyak 60 peratus berbanding trak-trak Euro 3 yang ada sekarang. Malah, enjin Euro 5 lebih menjimatkan minyak dan kurang emisi CO² berbanding trak Euro 3.
“Dalam mendepani cabaran alam sekitar pada masa sekarang, semakin banyak syarikat dilihat memberi komitmen kepada aspek kelestarian dan memilih untuk bekerjasama dengan rakan-rakan perniagaan yang berkongsi matlamat sama. Jadi, adalah penting untuk UD Trucks sentiasa membawakan penyelesaian kepada industri yang dapat menambah baik produktiviti perniagaan. Pada masa sama membuka jalan kepada para pelanggan kami untuk meningkatkan penarafan kemapanan alam sekitar, sosial dan tata kelola (ESG) mereka,” katanya.
Trak Euro 5 Quester hadir dengan ciri-ciri yang dapat meningkatkan produktiviti. Antaranya sistem I-Coaching yang membantu pemandu menambah baik penjimatan bahan api dan keselamatan. Ciri UD Connected Services pula membantu syarikat memantau trak-trak mereka. Bukan itu sahaja, kotak gear automatik Escot membantu mengurangkan kepenatan pemandu kerana ia berfungsi memudahkan urusan memandu trak tugas berat dengan menghilangkan tekanan untuk menukar gear. Sekali gus membolehkan pemandu memberi perhatian sepenuhnya terhadap keselamatan di atas jalan raya.
Pengurus Besar Kanan TCIE, Loh Thim Choy ketika majlis penyerahan itu berkata, “Bagi pihak TCIE, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Sunmaju kerana mempercayai kami untuk memenuhi keperluan logistik mereka sejak tahun 2005. Kami sangat berbesar hati kerana dapat menyokong operasi harian dan memastikan rangkaian trak UD mereka beroperasi dengan lancar.
“Sama seperti kejayaan Sunmaju yang dibina atas konsep inovasi dan kerjasama, TCIE dan UD Trucks akan terus berusaha bagi menyokong perniagaan mereka dengan membawakan penyelesaian inovatif dari Jepun yang relevan untuk produktivi serta mengurangkan impak ke atas alam sekitar.”