Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

20 January 2025

Isuzu Jenama Trak Paling Popular di Malaysia Untuk Tahun 2024

Isuzu sekali lagi muncul sebagai jenama trak paling laris di Malaysia untuk tahun 2024 apabila syarikat itu mencapai prestasi jualan yang stabil walaupun keadaan pasaran sentiasa berubah. Pencapaian ini meletakkan Isuzu di tempat nombor satu untuk segmen trak tugas ringan, lantas menyumbang kepada kejayaan Isuzu sebagai jenama trak keseluruhan paling popular di pasaran selama 11 tahun berturut-turut. Dalam segmen tugas ringan, Isuzu telah menerajui selama 15 tahun berturut-turut. 

Mengulas mengenai pencapaian itu, Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe berkata, “Kejayaan kami sebagai peneraju pasaran di Malaysia untuk segmen trak tugas ringan serta sebagai jenama trak keseluruhan paling popular merupakan bukti kukuh bahawa pelanggan-pelanggan kami telah sentiasa memberi tahap kepercayaan dan keyakinan yang mendalam terhadap produk, perkhidmatan dan pasukan Isuzu. Sebagai pengeluar trak Jepun terkemuka dengan pengedaran global, Isuzu sentiasa berpegang teguh pada komitmen untuk menawarkan kenderaan komersial berkualiti terbaik dan sokongan selepas jualan yang diperlukan oleh pelanggan kami demi kecekapan dan kemampanan optimum perniagaan mereka. 

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, industri trak global telah menghadapi cabaran-cabaran yang baru. Di Malaysia juga, industri ini terus berkembang dan maju, didorong oleh pelbagai faktor ekonomi dan persekitaran yang telah menimbulkan beberapa trend seperti perubahan regulasi dan aplikasi teknologi yang semakin meningkat untuk kecekapan yang lebih baik dan emisi yang lebih bersih. Disebabkan ini, sifat perniagaan pelanggan kami juga berubah apabila permintaan baharu berkembang.

“Di Isuzu, kami bermatlamat untuk sentiasa berinovasi dan menawarkan penyelesaian pengangkutan terbaik yang dapat meningkatkan responsif dan kecekapan penghantaran, menambah baik pengalaman pelanggan dan menyokong dorongan penyahkarbonan untuk pelanggan-pelanggan kami. Pada dasarnya, kami amat komited dalam membantu pelanggan-pelanggan kami meningkatkan kelebihan daya saing mereka dalam industri logistik transformatif hari ini dengan memperkenalkan trak-trak baharu yang memberikan kecekapan yang lebih baik dan emisi yang lebih bersih,” katanya. 

Dalam memaparkan janji tersebut dan menjawab keperluan pasaran, Isuzu Malaysia telah melancarkan beberapa trak model baharu tahun lepas. Ini termasuk model baharu Isuzu ELF NPR PRO Euro 4 dan model trak tugas sederhana iaitu Isuzu FVR Smoother (FVR34UU-SDN) 6 kelajuan AMT (Transmisi Manual Automatik) Euro 5. Tambahan lagi, Isuzu Malaysia juga ada memperkenalkan beberapa lagi model baharu dalam siri trak tugas ringan ELF dengan piawaian Euro 4. 

Enjin 4JJ1-TCC yang dioptimumkan dalam NPR PRO menawarkan keupayaan luar biasa dalam pengurangan penggunaan bahan api dan kos. Isuzu berkongsi bahawa pandu uji perbandingan antara NPR PRO dan trak transmisi manual Isuzu 7.5 tan yang setara telah dijalankan dalam perjalanan sejauh 500km di lebuh raya dan jalan raya bandar di Malaysia dan keputusan menunjukkan NPR PRO mampu mengurangkan penggunaan bahan api dengan sekitar 20%. 

Enjin yang padat dan berkuasa ini juga mempunyai ciri Diesel Oxidation Catalyst (D.O.C) yang bebas penyelenggaraan dan boleh mengurangkan pelepasan Karbon Monoksida (CO), Hidrokarbon (HC) dan Zarah (Particulate Matter) dengan berkesan, sekali gus menjadikan NPR PRO trak yang mesra alam sekitar dan kos efektif. 

Selain itu, NPR Pro menawarkan variasi Smoother AMT yang menggabungkan operasi pemanduan mudah seperti transmisi manual automatik tetapi dengan kecekapan seperti transmisi manual, serta kecekapan bahan api yang lebih baik.

Sementara itu, trak FVR Smoother AMT baharu pula dikuasakan oleh enjin 6-silinder 6HK1-TCN. Ia mempunyai GVW yang berkapasiti 19 tan dan ini membolehkan pengendali trak memaksimumkan muatan. Kapasiti gandar hadapan sebanyak 7,500kg dan kapasiti gandar belakang sebanyak 13,000kg dapat menyumbang kepada kapasiti tampung yang unggul untuk penghantaran pukal. Kebolehgerakan trak itu juga dipertingkatkan dengan fungsi AMT yang lebih lancar lantas menjadikannya sesuai untuk tugasan dalam bandar.

Kesemua trak itu mempunyai pelbagai ciri keselamatan seperti Beg Udara SRS dengan tali pinggang keledar pretensioner, Sistem Brek Anti-kunci (ABS) dan Pengagihan Daya Brek Elektronik (EBD) yang berfungsi bersama dan Pengatur Anti-gelincir (ASR), serta lampu utama LED untuk mempertingkatkan penglihatan pada waktu malam. 

“Isuzu kekal komited dalam daya saing melalui visi, strategi dan pelaksanaan kami dan bekerjasama rapat dengan semua pemegang kepentingan kami. Kami percaya bahawa pengangkutan yang lebih baik dapat membawa kepada kehidupan yang lebih baik. Dengan visi untuk menjadi peneraju inovasi global dan membawa perubahan positif kepada penyelesaian pengangkutan, kami ingin mengesahkan komitmen berterusan kami kepada pelanggan-pelanggan, rakan-rakan kongsi dan industry untuk mencipta impak yang mendalam terhadap rantaian nilai logistik Malaysia,” tambah Okazoe.