SV Prestige Buka Cawangan Puchong Yang Diperbaharui

Pelanggan Isuzu di Puchong kini boleh menikmati pengalaman yang dinaik taraf berikutan pembukaan cawangan Pusat 3S SV Prestige Isuzu hari ini.
Terletak di lokasi strategik di Jalan Puchong berdekatan IOI Mall, Pusat 3S SV Prestige Isuzu baharu ini menampilkan identiti korporat Isuzu terkini disamping mempamerkan semua penawaran terbaharu jenama itu.
Cawangan baharu ini dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe yang memuji pihak pengurusan SV Prestige diatas sumbangan bermakna syarikat itu dalam memperkukuhkan lagi perniagaan Isuzu di Lembah Klang.
“Walaupun banyak persaingan di Lembah Klang, SV Prestige tetap mampu menonjol sebagai satu daripada pengedar utama kami di sini. Di kawasan bandar, layanan pelanggan yang baik dan cekap adalah sangat diperlukan untuk memastikan kejayaan perniagaan. Saya percaya SV Prestige komited sepenuhnya untuk menyediakan yang terbaik kepada pelanggan Isuzu dengan tahap layanan yang tertinggi,” jelas Okazoe.
Pusat 3S SV Prestige meningkatkan pengalaman pelanggan dengan menawarkan barisan perkakasan dan perisian terkini di bawah satu bumbung. Bilik pameran yang luas mempamerkan model-model terkini Isuzu, termasuk sebuah bilik perbincangan khusus di mana pelanggan boleh menjalankan urusan mereka secara tertutup. Bilik pameran ini juga menempatkan inovasi terkini Isuzu yang membolehkan pengunjung mengalami sendiri Isuzu D-Max dalam VR Atau AR sebelum mereka melangkah masuk kenderaan sebenar.