Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

16 January 2025

STATUS PENGUATKUASAAN KENDERAAN PERDAGANGAN - OPERASI KHAS PUSPAKOM

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia telah  menjalankan Operasi Khas PUSPAKOM sebagai salah satu elemen khas menerusi Operasi Khas Gempur Teknikal bagi tindakan penguatkuasaan dengan lebih tegas terhadap kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya.

Pelaksanaan Ops Khas PUSPAKOM adalah untuk  memastikan keselamatan kenderaan dan membendung kesalahan teknikal pada kenderaan perdagangan  sebelum, semasa, dan selepas melakukan pemeriksaan berkala atau awalan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Sepanjang Ops yang dilaksanakan sejak 30 Disember 2024, pihak JPJ telah mengadakan pemeriksaan terhadap 37 buah PUSPAKOM di seluruh negara dan hasil daripada Ops tersebut sebanyak 21 buah kenderaan telah disita. Pihak JPJ telah mengesan kesalahan kenderaan yang disita adalah melibatkan Lesen Perdagangan Kenderaan Motor palsu, guna kenderaan tidak berdaftar, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, Insurans tamat tempoh dan menggunakan Lesen Perdagangan Kenderaan Motor syarikat lain.

Daripada jumlah sitaan tersebut, pihak JPJ turut mengesan sebuah lori telah dikesan diluluskan oleh pihak PUSPAKOM sedangkan keadaan fizikal kenderaan tersebut tidak mengikuti piawaian standard keselamatan kenderaan. Tindakan sitaan terhadap kenderaan itu diambil dibawah Seksyen 64(1) Akta 333 bagi mengelakkan berlakunya kesalahan berterusan.

Berikutan daripada kes tersebut, pihak JPJ telah mengadakan kerjasama strategik dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi kes-kes yang melibatkan penyelewengan terhadap keputusan pemeriksaan kenderaan di PUSPAKOM. Pihak JPJ juga akan mengadakan penguatkuasaan secara berterusan dan bersepadu dengan agensi-agensi penguatkuasa yang lain.

JPJ Malaysia sentiasa komited dalam memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya dan berusaha meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya terutamanya yang melibatkan kenderaan perdagangan.