Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

29 October 2024

Isuzu Sungai Petani Berwajah Baharu

Bilik pameran Isuzu di Sungai Petani, Kedah kini diberikan peningkatan kemudahan yang lebih baik serta berwajah baharu untuk menampung populariti terhadap kenderaan Isuzu yang semakin bertambah di kawasan sekitarnya. 

Bilik pameran yang dikendalikan oleh Indah Utara itu menampilkan perkarangan premis yang luas, memudahkan pelanggan untuk meletak kenderaan dengan mudah, sementara bilik pameran bersaiz 436 meter perseginya pula menampilkan ruang menunggu yang selesa untuk pelanggan, kaunter layanan dengan hidangan ringan, sudut pengalaman AR dan juga kaunter cenderahati. 

Bilik pameran ini turut menampilkan ruang pameran utama dan ruang serahan kenderaan khusus untuk pelanggan menerima serahan D-Max baharu mereka. Pelanggan boleh juga meneliti penawaran trak komersial yang sesuai untuk keperluan perniagaan mereka di sana, sama ada untuk siri trak ELF, FORWARD dan GIGA. 

Bercakap ketika majlis pembukaannya, Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Indah Utara atas usaha mereka untuk mempertingkatkan lagi pengalaman jenama Isuzu bagi kawasan sekitarnya. 

“Bahagian utara Semenanjung Malaysia menjadi pasaran penting bagi produk Isuzu kerana usaha pengedar kami di sini, terutamanya Indah Utara yang secara berterusan meningkatkan tahap layanan untuk memenuhi keperluan dan kehendak pelanggan,” jelas Okazoe. 

Terletak berdekatan jalan lama utama dari Butterworth di Padang Temusu, bilik pameran Isuzu baharu Indah Utara ini sangat mudah dilihat dan dikenal pasti melalui Identiti Korporat Isuzu (CI) baharu dan menara logonya.

 

Waktu operasi harian bilik pameran Isuzu Indah Utara di Sungai Petani adalah dari 9 pagi hingga 5.30 petang.