Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

30 November 2024

Volvo Perkasa Keselamatan dan Kecekapan Bahan api Industri Pengankutan Dengan Reangkaian Trak Tugas Berat Yang Dikemas kini

Malaysia merupakan negara ASEAN kedua terbaik dari segi prestasi logistik perdagangan global, dan berada di tempat ke-26 dalam Indeks Prestasi Logistik Bank Dunia 2023 (LPI), iaitu melonjak daripada tempat ke-41 sebelum ini pada tahun 2022. Dengan matlamat menyokong cita-cita Malaysia untuk mengukuhkan ekosistem logistiknya, Volvo Malaysia Sdn Bhd (Volvo Trucks) telah melancarkan rangkaian Trak Tugas Berat dikemas kini terbaharunya (The Newly Updated Volvo Heavy-Duty Trucks) yang akan menyokong usaha syarikat-syarikat perniagaan meningkatkan penjimatan minyak untuk menghasilkan emisi karbon lebih rendah, sambil meningkatkan produktiviti dan keselamatan bagi pemandu dan juga pengguna jalan raya.

“Keselamatan, Kualiti, dan Kelestarian atau penjagaan alam sekitar adalah nilai-nilai teras kami di Volvo Trucks. Kami bertekad untuk menyediakan penyelesaian yang meningkatkan keselamatan bagi para pemandu dan juga pengendali trak yang meliputi seluruh industri pengangkutan.  Kehadiran rakan-rakan industri dan agensi-agensi Kerajaan di pelancaran pada hari ini menunjukkan kesungguhan mereka terhadap penyelesaian inovatif yang meningkatkan keselamatan pemandu trak tugas berat dan pengguna jalan raya, di samping membantu menjaga alam sekitar. Malah usaha ini menyokong strategi kami untuk memperkenalkan Trak Tugas Berat Dikemas Kini Baharu Volvo pada hari ini,” kata Pengarah Urusan Volvo Trucks Asia Tenggara dan Jepun, Anna Engblom.

Keselamatan jalan raya terus menjadi topik perbincangan hangat, khususnya berkaitan dengan kenderaan berat. Walaupun keselamatan jalan raya umumnya berada di bawah pemantauan beberapa agensi termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, dan Agensi Pengangkutan Awam Darat, Volvo Trucks percaya sektor swasta boleh memainkan peranan aktif menerusi inovasi keselamatan. Pendirian ini dititikberatkan oleh Volvo dengan pelancaran rangkaian trak tugas beratnya yang terbaharu.

Prestasi cemerlang
Rangkaian trak tugas berat baharu menampilkan reka bentuk aerodinamik yang dinaik taraf, sistem pacuan ditambah baik, persekitaran pemandu lebih selesa, dan sistem keselamatan pintar bagi model trak Volvo FH, FM, dan FMX. Menyedari persekitaran industri pengangkutan yang mencabar dan ekosistem logistik yang unik di Malaysia, rangkaian trak baharu ini dibina khusus untuk membantu perniagaan mencapai penjimatan minyak sambil meningkatkan kesejahteraan dan keselamatan operasi pemandu. 

Ciri-ciri penting Trak Tugas Berat Dikemas Kini Baharu Volvo termasuk kelebihan aerodinamik kabin Globetrotter yang menghasilkan kecekapan guna bahan api lebih efisien sehingga 9%. Volvo Trucks juga telah menjadikan ciri Amaran Perlanggaran Hadapan dengan sistem brek kecemasan automatik satu ciri piawai dalam rangkaian trak tugas berat dikemas kini baharu. Di samping itu, rangkaian baharu ini direka untuk memastikan brek parkir treler berfungsi apabila brek parkir trak diaktifkan. 

Fungsi Kawalan Halaju dengan I-See ialah satu ciri penting yang menggabungkan teknologi kawalan halaju pintar untuk mengoptimumkan kelajuan dan pertukaran gear mengikut topografi, lantas meningkatkan kecekapan penggunaan minyak. 

Menerajui Keselamatan Pemandu dan Pengguna Jalan Raya
Teknologi mencetus revolusi dalam keselamatan jalan raya dengan penyelesaian yang direka untuk mencegah kemalangan dan memberikan masa tindak balas kecemasan yang lebih pantas. Sebagai pelopor terkemuka dalam bidang keselamatan, Volvo mencipta sejarah apabila mereka bentuk tali pinggang keledar tiga penjuru yang merintis kemajuan ciri keselamatan berasaskan pencegahan yang wujud dalam semua kenderaan sehingga kini. 

Setelah beberapa dekad berlalu, jenama ini kini sedang mentakrifkan semula keselamatan bagi industri pengangkutan trak, dengan ciri-ciri seperti Pengemudian Stereng Dinamik Volvo (VDS) yang menstabilkan kenderaan dalam pelbagai keadaan dan Sistem Pemantauan Kamera (CMS), yang disediakan sebagai pilihan dalam rangkaian trak dikemas kini baharu Volvo. Sistem CMS dilengkapi dengan fungsi inframerah malam yang memberikan tahap penglihatan lebih baik di sekeliling trak dan mengurangkan titik buta. Ciri-ciri seperti lampu LED juga meningkatkan tahap keterlihatan, membantu pemandu memandu pada waktu malam dan dalam cahaya malap. CMS yang akan disediakan pada suku kedua 2025, adalah satu lagi ciri yang boleh menjimatkan minyak sambil meningkatkan tahap keselamatan. 

Volvo Trucks baru-baru ini mencapai mercu jaya penting dalam keselamatan global apabila diiktiraf dengan penarafan tertinggi lima bintang daripada organisasi ujian pengguna Eropah, Euro NCAP, bagi kedua-dua model Volvo FH dan Volvo FM. “Inilah kali pertama Euro NCAP menilai keselamatan trak tugas berat. Pencapaian ini sesungguhnya mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai pemimpin dalam bidang keselamatan, yang merupakan asas keyakinan para pelanggan kami,” kata Engblom. 

Skop ujian trak oleh Euro NCAP meliputi tiga ciri tumpuan. Ciri pertama ialah ciri  pemanduan selamat seperti pemantauan pemandu dan bantuan kelajuan. Yang kedua ialah ciri mengelakkan perlanggaran seperti perlanggaran depan dan perlanggaran kemudi pada kelajuan rendah, dan ciri ketiga ialah maklumat menyelamat khusus selepas perlanggaran. 

Menyokong Syarikat Perniagaan untuk Memenuhi Komitmen Kelestarian
Sejajar dengan matlamat alam sekitar Malaysia, Trak Tugas Berat Dikemas Kini Baharu Volvo direka cipta untuk memenuhi piawaian emisi Euro 5.  Piawaian ini menyokong syarikat yang ingin maju kehadapan dalam usaha memenuhi komitmen kelestarian untuk mengurangkan tahap emisi demi kualiti udara yang lebih baik. Di samping itu, peralihan daripada kumpulan trak yang sedia ada akan menyokong usaha Malaysia menggerakkan prestasi amalan alam sekitar lestari di dalam sektor pengangkutan. 

Usaha penyahkarbonan sektor pengangkutan Malaysia digariskan dalam Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030. Berlandaskan rangka kerja dasar ini, Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam untuk menilai pilihan tenaga terbaik dan juga merancang untuk mengurangkan Gas Rumah Hijau dalam sektor pengangkutan.  

Bagi menyokong usaha negara kita mengurangkan emisi karbon, rangkaian trak dikemas kini baharu Volvo menepati rancangan tindakan penting yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon yang memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi kenderaan emisi rendah. Rangkaian trak ini membantu syarikat-syarikat perniagaan dalam usaha mereka mencapai matlamat kelestarian dengan beralih kepada rangkaian trak emisi lebih rendah. 

Meningkatkan Sokongan bagi Pemandu Trak Tugas Berat
Pemandu trak tugas berat memainkan peranan penting sebagai tenaga kerja barisan hadapan ekonomi negara. Mereka menghadapi persekitaran kerja yang mencabar dan rumit sepanjang perjalanan jarak jauh bagi memastikan kelancaran rantaian bekalan yang menjadi tunjang ekonomi negara. Sememangnya pemandu kenderaan berat perlu bekerja dalam suasana sesuai agar menggalakkan produktiviti optimum. 

Menyedari hakikat ini, Volvo Trucks telah menaik taraf kabin pemandu dengan ciri kawalan ergonomi, antara muka intuitif dan ruang rehat luas dalam rangkaian kenderaan baharu ini.  Ruang dalam yang direka cipta semula ini menyediakan persekitaran yang selesa, membolehkan pemandu mengekalkan fokus dan mengurangkan kelesuan dalam perjalanan jarak jauh. 

Antara ciri yang menyokong keselamatan pemandu termasuk Amaran Perlanggaran Hadapan dengan Brek Kecemasan Automatik, Sokongan Mengekalkan Lorong Kawalan Halaju Adaptif, Sokongan Pertukaran Lorong, Sokongan Amaran Pemandu dan Isyarat  Penyambungan Treler yang disediakan menerusi pakej Safety+ daripada Volvo Trucks untuk menambah baik pengalaman dan prestasi memandu. 

Rangkaian baharu ini juga direka dengan sistem audio dalam kabin dan tahap keselesaan lebih tinggi menerusi skrin maklumat yang dilengkapi dengan dua pangkalan USB-C.

“Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada para pelanggan dan rakan-rakan kerjasama industri atas sokongan berterusan dan kepercayaan mereka selama ini terhadap Volvo Trucks. Maklum balas pelanggan amat penting dalam usaha kami mengekalkan kedudukan sebagai pemimpin industri. Keprihatinan ini membolehkan kami menyokong pelanggan dan juga industri secara keseluruhan,” kata Engblom dalam ucapannya di majlis pelancaran yang dihadiri oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Yang Berhormat Nik Nazmi Nik Ahmad.

Sempena pelancaran ini, Volvo Trucks juga akan mengadakan sesi latihan pemandu untuk mengemas kini pengetahuan pemandu tentang Trak Tugas Berat Dikemas Kini Baharu Volvo dan cara mengoptimumkan ciri-cirinya di jalan raya. Volvo Trucks juga baru-baru ini melancarkan program Iron Women pada September 2024, iaitu inisiatif baharu yang meningkatkan kemahiran dan memperkasakan wanita untuk menjadi pemandu trak. Sehingga kini, lima wanita berusia antara 27 tahun hingga 40 tahun telah berjaya menamatkan program. Inisiatif tersebut menetapkan matlamat untuk memperkasakan kira-kira 100 pemandu trak tugas berat wanita menjelang akhir 2025.