Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

Published: 31 January 2024

Pendekatan Digital PLUS Bantu Pengguna Rancang Perjalanan Berdasarkan Trend Trafik Musim Perayaan

Menteri Kerja Raya Malaysia, Dato Sri Alexander Nanta Linggi hari ini melancarkan MyPLUS-TTA, sebuah aplikasi digital oleh PLUS Malaysia Berhad PLUS) untuk para pengguna lebuhraya merancang perjalanan semasa musim perayaaan. MyPLUS-TTA berkonsepkan pengagihan trafik berdasarkan polar perjalanan pada musimmusim perayaan sebelum ini. MyPLUS-TTA membantu mengoptimakan pengagihan trafik bagi mengurangkan risiko kesesakan dan meningkatkan keselesaan perjalanan pengguna.


Dalam ucapannya, Menteri Kerja Raya berkata, “Inisiatif MyPLUS-TTA menunjukkan kepentingan integrasi teknologi di dalam pengurusan lebuh raya negara. Inisiatif ini bukan sekadar akan memanfaatkan pengguna-pengguna lebuhraya, tetapi juga menyumbang kepada kelestarian infrastruktur lebuhraya negara dengan mengagihkan trafik pada musim perayaan, meningkatkan keselesaan dan keselamatan pengguna, dan mengurangkan risiko kesesakan.”


Menurut Dato Sri Alexander Nanta Linggi, inisiatif baru yang diperkenalkan ini mengadaptasikan pendekatan digital dan selari dengan perkembangan teknologi masa kini yang semakin pesat. Menurutnya, beliau yakin MyPLUS-TTA mampu memberi nafas baru kepada pendekatan rakyat dalam merancang perjalanan di musim perayaan dan dapat membantu mengurangkan kemungkinan berlakunya kesesakan di lokasi-lokasi tertentu di lebuh raya menerusi strategi pengagihan trafik. Ia membuktikan usaha dan komitmen berterusan PLUS dalam menambahbaik mutu perkhidmatan lebuh raya kendaliannya, selain daripada menyokong aspirasi pendigitalan kerajaan.


Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, “MyPLUS-TTA merupakan salah satu daripada inisiatif di bawah rangka strategi jangka-panjang PLUS ke arah Lebuh Raya Pintar (“Smart Highway”) untuk mempercekapkan operasi dan perkhidmatan lebuhraya PLUS dan memberi lebih kemudahan serta keselesaan kepada pengguna. MyPLUS-TTA ini memudahkan para pengguna untuk merancang jadual perjalanan mereka ketika musimmusim perayaan. Menerusi MyPLUS-TTA, dapat memudahkan PLUS untuk mengagihkan trafik secara strategik berdasarkan analisis data musim perayaan yang lalu dan merealisasikan komitmen kami untuk terus berusaha memberikan keselesaan para pengguna.”

Menurutnya, MyPLUS-TTA yang boleh diakses menerusi Aplikasi PLUS berperanan mengubah cara pengguna lebuh raya berinteraksi dengan perjalanan mereka. Dengan menggunakan data dan trend perjalanan pada musim-musim perayaan yang lalu, ia dapat membantu pengguna membuat keputusan dan memilih waktu perjalanan yang paling sesuai dengan kehendak mereka dan memastikan pengalaman perjalanan yang lebih lancar dan selesa.


Beliau juga menambah, “Pengurusan trafik yang lebih efisien menerusi Aplikasi MyPLUS-TTA ini juga dapat mengurangkan pencemaran udara, selaras dengan komitmen kelestarian PLUS serta mendokong Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2030.”


Menurut Datuk Nik Airina, bagi menghargai pengguna yang telah menggunakan MyPLUSTTA dengan mendaftarkan perjalanan mereka dan mematuhi MyPLUS-TTA pada perayaan Deepavali dan Krismas yang lalu, pengguna telah turut berpeluang memenangi hadiah baucar
membeli-belah. PLUS akan menawarkan peluang yang sama kepada pengguna untuk mendaftarkan perjalanan mereka menerusi MyPLUS-TTA pada perayaan Tahun Baru Cina yang akan datang bermula pada hari ini.


Pada majlis pelancaran tersebut, Menteri Kerja Raya juga mengumumkan bahawa MyPLUSTTA akan turut diintegrasikan ke dalam Aplikasi MyJalan di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR).


“KKR menyokong penuh inisiatif ini. Maka, KKR bercadang untuk mengintegrasikan MyPLUSTTA di dalam Aplikasi MyJalan pada setiap musim-musim perayaan yang akan datang. Ia bagi memudahkan rakyat untuk mengakses serta merancang perjalanan mereka dengan lebih efisien serta terus membolehkan MyJalan memainkan peranannya sebagai one-stop centre,” kata Menteri Kerja Raya.


Pada ketika ini, MyPLUS-TTA boleh diakses menerusi Aplikasi PLUS yang boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Play Store (bagi peranti Android) dan App Store (bagi pengguna iPhone).


Turut hadir pada majlis pelancaran yang berlangsung di Persada PLUS hari ini adalah Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Ir Mohd Hadzmir Yusoff, Presiden Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) merangkap Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Ir Zakaria Ahmad Zabidi, Pengarah Penguatkuasa Kanan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan, Pengarah Pusat MIROS, Ir. Ts. Dr. Muhammad Marizwan Abdul Manan serta pegawai-pegawai kanan daripada Polis DiRaja Malaysia, KKR dan juga LLM.