Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

Published: 12 December 2023

UD Trucks Anjur Program CSR untuk Kanak-Kanak Rumah Kebajikan Shelter Home

Kakitangan dari UD Trucks Hub Malaysia yang turut disertai oleh pengedar tunggalnya, Tan Chong Industrial Equipment Sdn Bhd (TCIE) baru-baru ini telah menganjurkan satu program tanggungjawab sosial koporat (CSR) akhir tahun yang membawakan kemeriahan serta pengalaman unik kepada kanak-kanak di Shelter Home di Petaling Jaya, Selangor.

 

Program yang berlangsung selama setengah hari itu padat dengan pelbagai aktiviti, termasuklah kempen keselamatan jalan raya ‘memahami trak’, lawatan maya secara langsung ke Zoo Singapura dan program rakan pena dengan kanak-kanak dari rumah anak yatim di Filipina dan Jepun, di mana aktiviti CSR serupa juga dijalankan secara serentak oleh kakitangan UD Trucks di rantau ini. 

 

Acara di Shelter Home bermula dengan ucapan ringkas oleh Pengurus Besar UD Trucks Hub Malaysia, Supriono Madayin di hadapan penjaga dan kanak-kanak terlibat. Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa inisiatif CSR ini merupakan refleksi kepada matlamat korporat UD Trucks dalam membina kehidupan lebih baik untuk orang ramai.

 

Shelter Home yang diwujudkan sejak tahun 1981 membantu kanak-kanak yang didera, diabai atau berisiko yang memerlukan tempat selamat untuk tinggal. Shelter Home juga memberikan kanak-kanak berkenaan pendidikan dan sokongan kaunseling. Buat masa sekarang, rumah itu menjadi kediaman kepada 35 orang kanak-kanak lelaki dan perempuan yang berusia dari lima hingga 18 tahun.

 

“Sebahagian daripada falsafah ‘Better Life for the People’ UD Trucks adalah berhubung dengan komuniti yang kurang bernasib baik di sekeliling kita. Salah satu aktiviti utama yang sentiasa dijalankan di seluruh dunia ialah program keselamatan jalan raya dalam kalangan kanak-kanak yang pergi ke sekolah. Matlamatnya adalah untuk mendidik dan menanamkan kesedaran mengenai cara mengelakkan kemalangan jalan raya, terutama yang melibatkan trak. Kanak-kanak ini akan belajar dan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti dengan trak tugas berat sebenar untuk menunjukkan lokasi titik buta, berhati-hati dengan saiz trak dan ruang yang diperlukan ketika masuk ke simpang jalan,” kata Supriono.

 

Trak tugas berat UD Quester dibawa oleh TCIE dan diletakkan di acara tersebut untuk memberi pengalaman sebenar kepada kanak-kanak ini. Sekali gus membantu mereka memahami risiko dan langkah-langkah keselamatan di sekeliling trak. Minat kanak-kanak ini dicetuskan sepanjang aktiviti yang dimulakan dengan penerangan asas tentang anatomi chasis dan ciri-ciri yang ada di dalam kabin pemandu. Mereka kemudian dibawa ke sekeliling trak supaya boleh mengetahui titik buta di bahagian belakang, hadapan dan sisi trak berkenaan.

 

Ia diteruskan dengan satu taklimat keselamatan tentang cara yang betul untuk naik dan turun dari kabin pemandu. Kanak-kanak ini diberi peluang untuk naik ke dalam kabin pemandu dan mengetahui apa yang boleh dilihat atau tidak ketika memandu sebuah trak yang besar. Mereka semua nyata kelihatan sangat teruja.

 

Selain sesi memahami trak dengan lebih baik, mereka ada menonton tayangan beberapa video animasi keselamatan jalan raya yang mendidik mereka mengenai asas keselamatan jalan raya dan amalan pejalan kaki yang baik. Anak-anak muda ini juga mengambil bahagian dalam pop kuiz ringkas tentang keselamatan jalan raya dan akhirnya menerima beg hadiah. 

 

Kegembiraan kanak-kanak ini semakin bertambah dengan aktiviti lawatan maya interaktif ke Zoo Singapura yang dipimpin oleh seorang ranger. Mereka berpeluang meneroka hidupan liar dan pengalaman pergi ke zoo dari tempat berbeza. Lawatan maya itu membawa kanak-kanak ini untuk melihat secara dekat pelbagai jenis haiwan seperti orang utan, zirafah, badak sumbu, harimau dan kuda belang, selain peluang untuk belajar tentang habitat, diet dan jangka hayat haiwan-haiwan berkenaan. 

 

“Tujuan kami bekerjasama dengan Zoo Singapura untuk membuat lawatan maya secara langsung dan interaktif ini adalah bagi memberi peluang kepada kanak-kanak di negara lain meneroka zoo ini kerana bukan mudah untuk mereka pergi ke sana. Ia juga bertujuan memberi keseronokan dan menggalakkan mereka mempunyai minat serta menghargai hidupan liar,” kata Supriono.

 

Sebagai tambahan, program rakan pena juga diadakan untuk kanak-kanak ini berkenalan dengan kawan-kawan baharu dari Filipina dan Jepun. “Kami mengambil peluang ini untuk menghasilkan satu program rakan pena serantau dengan memadankan kanak-kanak ini dengan rakan-rakan mereka di negara lain berasaskan kepada kumpulan umur. Mereka kemudian berjumpa dan bertegur sapa di antara satu sama lain untuk memulakan persahabatan baharu yang akan diikuti oleh balasan surat. Tujuan kami adalah untuk mencipta peluang untuk kanak-kanak ini berkawan dengan individu di negara lain dan boleh menyokong antara satu sama lain. Ia juga merupakan satu cara baik untuk bertukar-tukar nilai budaya dan memupuk semangat kepelbagaian di dalam diri mereka,” katanya.

 

GP Joseph, Pengurus Kanan, Shelter Home berkata, “Salah satu misi utama kami adalah untuk membantu kanak-kanak ini mengatasi trauma dan mengembalikan rasa penerimaan terhadap diri sendiri, maruah dan kepercayaan terhadap kemanusiaan. Jadi, kami mahu membesarkan mereka secara seimbang, matang dan bergaul dengan masyarakat yang positif. Kami sangat gembira kerana syarikat seperti UD Trucks dan TCIE telah menghubungi kami untuk menganjurkan aktiviti buat kanak-kanak yang pastinya akan menyumbang kepada kesejahteraan hidup mereka.”

 

Program tersebut diakhiri dengan makan tengah hari. Mereka yang berminat untuk menyumbang atau melawat Shelter Home boleh menghubungi 03-79550663 atau 011-26110663.