Isuzu Buat Serahan Trak Elf Unit Ke-100 Kepada DAQ Logistics

Isuzu Malaysia Sdn Bhd (Isuzu) meraikan tahun baharu dengan acara penting dengan menyerahkan unit ke-100 trak ELF kepada DAQ Logistics Sdn Bhd (DAQ Logistics), sebuah perniagaan logistik yang mengkhusus dalam pengangkutan dan penyelesaian rantaian bekalan yang berpangkalan di Puchong, Selangor.
Trak tersebut yang diserahkan pada awal Februari oleh Isuzu Dealer – Ultra Gallant Sdn Bhd (Klang) ketika tahun baru lunar/Cina, adalah model trak tugas ringan ELF NPR75UKH EURO 4 dengan GVW 7 500 kg, dikuasakan oleh enjin 5 193cc dan mempunyai tork maksimum 419Nmrpm @ 1 600mrpm.
Mengulas mengenai perkara ini, Ketua Pegawai Operasi Bahagian Kenderaan Komersial Isuzu - Masashi Nuijima berkata, “Kami mengucapkan tahniah yang setinggi-tingginya kepada DAQ Logistics kerana secara rasminya kini telah memiliki 100 unit kenderaan komersial Isuzu. Pencapaian ini adalah sangat penting untuk DAQ Logistics dan satu demonstrasi kukuh terhadap kebijaksanaan perniagaan dan pandangan jauhnya.”
“Tumpuan kami di Isuzu sentiasa menekan kepada inovasi dalam penyelesaian pengangkutan untuk semua barangan dan manusia demi mencipta nilai yang memperkayakan masyarakat. Inilah yang mendorong kami untuk sentiasa menawarkan trak berkualiti tinggi, boleh dipercayai dan jimat bahan api, serta sokongan selepas pasaran yang kukuh kepada pelanggan-pelanggan kami untuk produktiviti yang mereka inginkan. Kami amat berterima kasih kepada DAQ Logistics kerana memilih dan kekal bersama Isuzu dan kami akan terus memupuk perkongsian erat yang telah kami jalin bersama.”
DAQ Logistics menyediakan pengangkutan sejuk nasional dan menghantar ke pelbagai lokasi termasuk depoh, pejabat, sekolah, hospital, lapangan terbang, restoran, kedai runcit dan pusat membeli-belah. Syarikat itu membeli trak Isuzu pertamanya pada tahun 2016 dan hari ini telah memiliki 100 unit trak Isuzu yang terdiri daripada pelbagai model dari rangkaian ELF yang luas.
Jurucakap DAQ Logistics berkongsi, “Perkhidmatan dan kepakaran kami termasuk pengangkutan dan pengurusan rantaian bekalan sejuk bagi barangan sensitif suhu. Kami mengendalikan segala-galanya daripada penghantaran kepada keperluan pergudangan, didorong oleh moto kami untuk memudahkan logistik tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan dan harga. Ini adalah kunci untuk mencapai kepuasan pelanggan dan kami komited untuk memudahkan pelanggan-pelanggan kami memilih kami sebagai pembekal logistik mereka.
“Kami berbesar hati telah menemui Isuzu sebagai rakan kongsi kenderaan komersial yang boleh dipercayai. Bagi mana-mana perniagaan dalam sektor logistik, kita semua tahu dengan sepenuhnya bahawa kecekapan kos dan kebolehpercayaan adalah sangat penting apabila ia berkaitan dengan trak-trak kami. Rangkaian model Isuzu ELF yang luas bukan sahaja dapat memenuhi pelbagai keperluan kami demi mematuhi permintaan pelanggan, malah trak-trak tersebut juga amat memuaskan dalam kecekapan bahan api, kebolehmanduan dan keselamatan.
“Ketersediaan alat ganti kenderaan dan sokongan selepas jualan juga merupakan faktor-faktor tambahan yang menonjol bagi kami. Semua ini dapat membantu mengurangkan kos operasi dan tempoh masa ketidakoperasi trak-trak kami. Ini semua memudahkan kami untuk terus memilih Isuzu sebagai jenama trak pilihan kami.”
Rangkaian trak tugas ringan Isuzu ELF boleh didapati dalam 17 varian dan meliputi ciri-ciri keselamatan seperti beg udara untuk pemandu, sistem brek anti-kunci (ABS), pengawal selia anti-gelincir (ASR) dan pengagihan daya brek elektronik (EBD).