Volvo Trucks Malaysia lancar trak tugas berat generasi baharu yang fokus kepada pemandu
Volvo Trucks Malaysia hari ini memperkenalkan empat model trak baharu yang memberi fokus kepada aspek keselamatan, produktiviti dan persekitaran pemandu ke pasaran Malaysia. Empat trak tugas berat itu ialah Volvo FH, FH16, FM dan FMX yang kini telah dipertingkatkan dengan pelbagai inovasi. Sekali gus dapat menawarkan standard keselamatan, produktiviti, penjimatan bahan api dan fokus kepada pemandu di peringkat paling tinggi.
“Volvo Trucks Malaysia sangat berbangga untuk melancarkan pelaburan masa depan ini kepada pelanggan di pasaran tempatan. Pengenalan empat trak tugas berat pada satu masa dalam persekitaran sekarang merupakan langkah paling besar dan berani. Tetapi kami tetap melakukannya kerana kami sangat yakin dan teruja bahawa trak-trak baharu ini akan mampu menawarkan pengalaman pemanduan, kecekapan dan prestasi yang tiada tandingan.
“Model-model baharu ini dibangunkan dengan memberi fokus kepada pemandu kerana mereka sememangnya menyumbang kepada produktiviti sesebuah perniagaan. Kami faham tentang segala cabaran yang dihadapi oleh para pelanggan. Salah satu cabarannya adalah untuk mencari dan mengekalkan pemandu yang bagus. Atas sebab itulah dan faktor-faktor lain, rangkaian trak baharu kami dibangunkan dengan memberi fokus kepada pesekitaran pemandu dalam usaha meningkatkan aspek keselamatan, produktiviti dan tempoh beroperasi.
“Matlamat kami adalah untuk menjadi rakan perniagaan yang terbaik buat pelanggan dengan menjadikan mereka lebih kompetitif dan membantu menarik minat pemandu terbaik dalam pasaran yang kian mencabar ini,” kata Pengarah Urusan Volvo Malaysia Sdn. Bhd., Anthony O’Connell.
Jangkaan peningkatan terhadap pengangkutan memberi tekanan ke atas kebolehdapatan pemandu berkemahiran di seluruh dunia. Bagi membantu pelanggan merekrut dan mengekalkan pemandu yang terbaik, Volvo Trucks telah memberi penekanan ke atas pembangunan trak untuk membuatkan mereka berasa lebih selamat serta efisien. Selain menjadikan trak ini satu jentera yang lebih menarik buat pemandu terlatih.
Model yang ada pada rangkaian trak Volvo Trucks boleh didapati dalam bentuk kabin berbeza dan boleh dioptimumkan untuk aplikasi yang lebih luas. Bagi trak jarak jauh, kabinnya sudah menjadi rumah kedua pemandu. Trak pengangkutan serantau pula sering menjadi pejabat bergerak. Manakala di tapak pembinan, trak ini sangat lasak dan menjadi jentera kerja yang praktikal. Jadi, aspek jarak pandangan, keselesaan, ergonomik, tahap kebisingan, pengendalian dan keselamatan merupakan poin penting ketika membangunkan semua model trak baharu. Bahagian luaran trak juga telah dipertingkatkan untuk menyerlahkan lagi penampilan serta rekaannya.
Kabin baharu, tawar jarak pandangan, ruang dan keselesaan lebih baik kepada pemandu
Volvo FM dan Volvo FMX yang hadir dengan kabin baharu mempunyai fungsi paparan instrumen yang sama seperti model-model Volvo lebih besar. Ruang dalamannya telah ditingkatkan sehingga 1 meter persegi, menawarkan lebih keselesaan dan ruang kerja yang luas. Aspek pandangan kini ditingkatkan sebanyak 10% dengan tingkap lebih besar, garis pintu direndahkan dan cermin baharu.
Peningkatan ciri keselamatan untuk menghalang kemalangan dan kecederaan
Visi keselamatan Volvo adalah untuk mencatat sifar kemalangan melibatkan trak dan produknya. Untuk meningkatkan keselamatan, Kamera Sudut Pemandu ditambah pada trak baharu bagi membantu menghalang titik buta ketika memandu, terutama apabila pemandu mengambil selekoh. Lampu tinggi pintar automatik sepenuhnya pula boleh mengubahsuai kedudukan lampu secara automatik jika terdapat kenderaan datang dari arah bertentangan turut ditambah pada trak baharu. Bukan itu sahaja, ciri Kawalan Jelajah Adaptif (Adaptive Cruise Control, ACC) dan Sistem Brek Kecemasan Termaju (Advanced Emergency Brake System, AEBS) boleh mengukur jarak di antara trak dan kenderaan di hadapan secara automatik dalam semua kelajuan untuk mengelakkan kemalangan.
Penjimatan bahan api menyumbang kepada pengurangan kos operasi
Volvo FH, FH16, FM dan FMX baharu menawarkan penjimatan bahan api yang hebat. Terima kasih kepada inovasi seperti I-Save yang digabungkan dengan enjin D13TC dan satu pakej ciri lain yang menyumbang kepada penjimatan bahan api sehingga 10 peratus untuk rangkaian trak FH da FH16. Bagi Volvo FH dan FM pula, ia hadir dalam versi LNG yang boleh mengurangkan kos bahan api dan emisi CO2 sehingga 20 peratus.
Semua model baharu didatangkan dengan sistem Volvo Connect sebagai pilihan yang akan ditawarkan kepada pelanggan di Malaysia tidak lama lagi. Volvo Connect ialah satu portal pelanggan yang padat dengan perkhidmatan digital dan fungsi ketersambungan yang digabungkan ke dalam satu antara muka. Ini akan memudahkan akses ke atas maklumat, berita dan fungsi yang penting untuk menjalankan perniagaan dengan cekap.
“Dengan Volvo Connect, kami memudahkan pelanggan untuk mengakses semua kelebihan digitalisasi dan ketersambungan tanpa perlu menguruskan sistem serta antara muka berbeza. Ia juga membolehkan ramai pelanggan mengadaptasi kemudahan telematik dan digitalisasi untuk pengurusan fleet yang lebih cekap. Pada masa depan, aspek-aspek lain operasi yang dapat membantu pentadbiran dan pematuhan undang-undang juga boleh dimasukkan ke dalam Volvo Connect,” jelas O’Connell.
Sebaik sahaja ditawarkan Volvo Connect akan mengandungi Dynafleet yang merupakan satu versi naik taraf pengurusan sistem fleet Volvo. Service Planing, satu aplikasi untuk melihat jadual servis dan penyelenggaraan. Data Access, satu perkhidmatan baharu yang membolehkan data kenderaan disimpan dan diakses menerusi awan. Dynafleet Safety Service, satu aplikasi yang direka untuk mengesan dan mengenal pasti indikator keselamatan penting seperti brek mengejut dan penggunaan tali pinggang keledar boleh digunakan untuk Latihan pemandu. Vehicle Status, satu servis untuk memantau komponen-komponen penting kenderaan dan mengenal pasti kerosakan yang mungkin berlaku untuk pembaikan segera atau servis seterusnya.
O’Connell juga memberitahu bahawa fleksibiliti antara muka Volvo Connect membolehkan pelanggan untuk mengkofigurasikan kepintaran dan laporan yang mudah dibaca berasaskan kepada parameter yang penting bagi perniagaan mereka. Selain diubah suai mengikut keperluan dan kecenderungan pelanggan. Laporan itu boleh mengumpul dan menganalisis data kenderaan serta pemandu, menunjukkan di mana penjimatan bahan api boleh dibuat untuk mengurangkan kos dan emisi CO2. Di samping memantau indikator keselamatan yang kritikal serta ciri-ciri lain.
“Volvo Connect menggabungkan ketersambungan dan analisis data. Ia membolehkan kami menawarkan peluang baharu untuk menyokong para pelanggan dan meningkatkan tahap kompetitif mereka,” katanya.
Sesi pandu uji trak baharu itu akan diadakan di beberapa pengedar seperti di Prai, Ipoh, Kuantan dan Johor bermula Januari 2022. Satu acara pameran trak bakal diadakan pada acara Ekspo Kenderaan Komersial Malaysia (Malaysia Commercial Vehicle Expo – MCVE) bermula 10 hingga 12 Mac tahun depan di Lembah Klang. Trak pertama dijangka diserahkan kepada pelanggan Malaysia pada Januari tahun depan.