Zaquin Menerima Penghantraran Scania XT Rigid NTG Pertama untuk Perniagaan Pengurusan Sisa Pintar Yang Pertama di Malaysia
Zaquin Resources Sdn Bhd (Zaquin), syarikat Pengurusan Sisa Pintar pertama untuk menggunakan tong separa bawah tanah pertama dengan sistem sensor IOT pintar di Malaysia, telah menerima trak Scania P250 B4x2NZ XT jenis kejur (rigid) New Truck Generation (NTG) yang pertamanya.
Ahmad Tarmimi Tahang, Pengarah Urusan Zaquin yakin bahawa pelaburan ini merupakan permulaan kepada perkongsian mampan (sustainable partnership) yang kukuh antara Zaquin dan Scania yang akan merevolusikan perniagaan kutipan sisa di Malaysia. Pilihan untuk mendepankan perniagaan pengurusan sisa dengan trak kejur Scania XT akan membantu membina imej yang mantap dan jelas bagi Zaquin selaras dengan usaha untuk memulihara alam sekitar. Langkah ini juga membantu mengurangkan kos pengurusan sisa melalui konsep ‘Pay as you throw’ (PAYT), iaitu semakin kurang anda membuang, semakin sedikit anda membayar.
Pada masa kini, pihak berkuasa tempatan membayar kos tetap yang tertentu bagi setiap isi rumah kepada semua syarikat kutipan sisa yang dikontrak untuk kutipan sisa. Zaquin bercadang untuk mengubah amalan ini dengan menerima bayaran hanya untuk sisa yang dikumpul, dan melalui sistem Smart Deep Collection pelanggan akan membayar untuk sisa yang dikutip sahaja.
Trak kejur NTG Scania XT, dilengkapi dengan kren terbaharu buatan Sweden dan alat pemadat binaan tempatan menjadi pilihan Zaquin selepas semua ciri trak dan keupayaannya telah dikaji dengan teliti bagi memenuhi keperluan sistem Smart Deep Collection Zaquin, yang pertama seumpamanya di Malaysia. Sistem sisa inovatif ini, yang digunakan di Eropah selama lebih 30 tahun, menggunakan bekas besar khas dalam pelbagai saiz untuk jenis sisa yang berbeza. Penutup bekas dan sekitarnya akan kekal bersih kerana sisa diangkut keluar menggunakan kren pada trak kejur Scania XT dan diletakkan ke dalam pemadat untuk dilupuskan. Bekas yang tertimbus (60%) separa bawah tanah ini boleh diletakkan bersebelahan pokok renek, di tepi jalan, kaki lima, lorong sempit, ataupun di belakang pagar kerana tong sampah utama tidak akan dialihkan. Trak tidak perlu mendekati bekas tersebut dari arah tertentu, justeru membolehkan penempatan yang fleksibel di tapak. Kren juga boleh berfungsi walaupun terdapat kereta yang menghalang trak kejur Scania XT daripada menghampiri bekas. Gandar belakang memberi kebolehgerakan yang mudah untuk trak bergerak di jalan kecil dan lorong untuk ke tong sampah. Kabin trak juga satu-satunya dilengkapi tempat duduk boleh laras yang berhampiran dengan pintu, panel instrumen ergonomik serta cermin depan besar bagi meminimumkan titik buta ke tahap minimum yang selamat. Pandangan yang diperluas memudahkan pemandu untuk beroperasi dalam persekitaran yang selesa dan selamat terutamanya apabila perlu beroperasi setiap hari di kawasan perumahan.
Trak kejur Scania XT juga dibina untuk memberikan pemilik trak kecekapan bahan api yang lebih baik sambil mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2). Ini adalah kerana ia dilengkapi dengan powertrain yang canggih serta penyelesaian aerodinamik yang memberikan penjimatan bahan api sebanyak 3 peratus.
Malah, penyelesaian kewangan fleksibel tersuai yang disediakan oleh Scania Credit Malaysia memberi kos boleh diramal sepanjang kitaran hayat trak jenis kejur Scania XT, oleh itu dapat memastikan kemampanan masa operasi maksimum. Zaquin kini sedang mempertimbangkan pelan melanggan Fleet Management System Control 10 untuk menandatangani perkongsian Scania Ecolution dan juga menjimatkan lebih banyak bahan api yang membolehkan pengurangan pelepasan Karbon Dioksida.
“Sisa boleh ditimbang dengan mudah untuk menyediakan data yang tepat untuk kajian, pengauditan atau pengumpulan data. Dengan sistem Smart Deep Collection Zaquin, kami dapat memantau sisa yang telah dikumpul dan akan dilupuskan di tapak pelupusan sampah yang diwartakan oleh pihak berkuasa tempatan,” kata Tarmimi.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, industri pengurusan sisa semakin bergerak ke arah pengurusan sumber dan pemulihgunaan bahan mentah. Sampah sarap yang bernilai daripada produk buangan juga menjadi semakin penting. Zaquin bertujuan mengorak langkah lebih jauh lagi dengan mengamalkan konsep “Sisa Sifar” atau “Zero Waste”: dengan mengitar semula peratusan sisa yang lebih tinggi, bertujuan untuk menjana kitaran hampir tidak terhenti yang, secara ringkasnya, membawa kepada tiada bahan sisa sama sekali. Zaquin juga menawarkan penyelesaian kitar semula secara individu dengan kaedah pengumpulan, pengisihan dan pemprosesan terkini bagi membolehkan pelanggan mengoptimumkan penyingkiran sisa dari segi korporat dan komuniti. Zaquin merupakan penggerak utama dalam Revolusi Perindustrian Keempat, juga dipanggil ‘Industri 4.0’.
Kerjasama Scania dengan Zaquin akan memastikan perkembangan selari dicapai dari segi kemampanan bagi kedua-dua syarikat. Langkah inovatif Zaquin dalam mengubah pengurusan sisa yang keberkesanan kos dan mesra alam adalah baik untuk masyarakat.
“Memacu masa depan bersama dengan Scania dalam Perkongsian Mampan akan mendorong perubahan sebenar, dan sebagai satu pasukan yang diikat oleh nilai-nilai mantap akan mengukuhkan komitmen kami ke arah masa depan yang lebih baik. Rakan kongsi, penyelesai masalah dan penasihat yang dipercayai adalah apa yang akan diperoleh Zaquin apabila syarikat menjadi pelanggan Scania,” kata Heba El Tarifi, Pengarah Urusan Scania Southeast Asia.
Zaquin ditubuhkan pada tahun 2005 sebagai perusahaan yang mengendalikan perkhidmatan pembersihan, pengurusan kemudahan, pelandskapan, pembersihan jalan dan pembersihan utiliti awam. Pada tahun 2012, Zaquin mengambil keputusan untuk menyediakan perkhidmatan khusus dalam pengurusan sisa. “Kami amat menghargai tenaga insan dan alam sekitar dan berhasrat untuk meneruskan konsep ‘sisa sifar’ dengan menyokong usaha untuk kitar semula. Inilah sebabnya kami bertindak secara bertanggungjawab, mempertimbangkan aspek sosial dan ekologi serta menjalankan penyelidikan peringkat tertinggi untuk mencapai matlamat kami: pembangunan mampan untuk persekitaran yang sesuai didiami,” kata Tarmimi.