Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

MOT anjur karnival kerjaya dan pendidikan sektor pengangkutan

Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) akan menganjurkan Karnival Kerjaya dan Pendidikan (Sektor Pengangkutan) 2019 yang akan diadakan di Palm Mall Seremban, di sini selama dua hari bermula esok.

Karnival yang julung kali diadakan ini dengan anjuran bersama dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sembilan dan JobsMalaysia Negeri Sembilan akan menghimpunkan pelbagai majikan dan menawarkan pelbagai pekerjaan dengan pelbagai pengisian menarik termasuk temuduga terbuka, pameran jabatan, agensi dan ‘ceramah kerjaya’ dari majikan terpilih.

“Karnival ini akan disertai oleh hampir 40 majikan yang akan turut menjalankan temuduga terbuka serta menawarkan kira-kira 4,000 kekosongan perjawatan. Antara majikan yang akan menyertai karnival ini ialah Prasarana Malaysia Berhad, AirAsia, Malindo Air, Pelabuhan Tanjung Pelepas, PUSPAKOM, Touch N Go dan banyak lagi.

“Antara jawatan yang ditawarkan pula adalah seperti Pemandu Prime Mover, Mekanik Jentera Ringan & Berat, Pemandu Bas, Pemeriksa Kenderaan, jawatan- jawatan eksekutif, jawatan dalam bidang jualan, jurutera, programmer, kru penerbangan dan pelbagai lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu, gaji yang ditawarkan juga adalah sangat kompetitif dan mengikut pasaran semasa di mana ada jawatan yang menawarkan gaji sehingga RM15 000.

“Di samping majikan, karnival ini juga akan turut disertai oleh jabatan dan agensi di bawah MOT seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Laut Malaysia (JLM), Perbadanan Aset Keretapi (RAC), Lembaga-Lembaga Pelabuhan, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan lain-lain lagi yang akan memberikan makumat menarik mengenai perkhidmatan yang dilaksanakan oleh jabatan/agensi kepada orang awam,” katanya.

MOT seterusnya merakamkan penghargaan Kerajaan Negeri Sembilan terutamanya kepada Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Negeri Sembilan J. Arul Kumar dan JobsMalaysia Negeri Sembilan kerana telah bersama- sama MOT dalam menjayakan program dua hari ini.

Karnival itu akan bermula dari pukul 10.00 pagi hingga 5.00 petang.

2019

  • Hits: 697

RISDA Fleet Sdn Bhd Beli Trak Tugas Berat UD Quester Untuk Keperluan Logistik Yang Semakin Berkembang

RISDA yang terletak di bawah Kementerian Hal-Ehwal Ekonomi diberi kepercayaan untuk memantau pihak berkepentingan di dalam sektor ini, apatah lagi ia merupakan sektor pengeluaran yang penting kepada ekonomi negara. Mandat utama agensi ini adalah untuk mengimplementasikan polisi dan program demi memastikan pertumbuhan dan kebolehjayaan semua pihak yang terlibat dalam industri getah, disamping menambah baik kesejahteraan sosial dan ekonomi mereka.

Satu majlis khas telah diadakan sebagai tanda penyerahan trak tugas berat tersebut. Dengan trak-trak baharu ini, RISDA Fleet Sdn Bhd kini sudah memiliki sembilan unit trak UD Quester.

Menurut RISDA Fleet Sdn Bhd, pengurusan kos bahan api dan memastikan keselamatan manusia serta kargo adalah sangat penting bagi mereka. Syarikat itu berkata, berdasarkan kepada pembelian empat unit prime mover UD Quester sebelum ini, mereka mendapati trak tersebut sangat boleh dipercayai, tahan lasak dan jimat bahan api. Selain memiliki rekod yang cemerlang dari segi jangka hayat dan tempoh boleh beroperasinya. Semua kualiti ini telah membantu RISDA Fleet Sdn Bhd mengelak sebarang bentuk penyelenggaraan yang serius, sekali gus memastikan penghantaran kargo yang efisien.

RISDA Fleet Sdn Bhd juga memberitahu bahawa keputusan untuk menambah lebih banyak trak UD Quester dipengaruhi oleh banyak faktor seperti mampu milik dan maklum balas positif daripada para pemandu tentang kualiti pemanduan dan ciri-ciri teknologi UD Quester, terutamanya dari segi keselamatan dan panduan penjimatan bahan api.

Ketua Pegawai Operasi TCIE, Jaclyn Loy berkata, “Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada RISDA Fleet Sdn Bhd kerana memilih UD Quester sekali lagi dalam usaha memenuhi keperluan logistik mereka yang meningkat. UD Quester dibina untuk menawarkan prestasi dan penjimatan bahan api luar biasa kepada para pelanggan. Kami sangat berbesar hati kerana RISDA Fleet berpeluang merasai sendiri semua manfaat ini. Penyerahan trak baharu ini juga membuktikan hubungan positif kami dengan RISDA Fleet serta komitmen kami untuk menawarkan logistik pintar.”

Di Malaysia, para pelanggan UD Trucks disokong oleh rangkaian 43 pusat servis dan pengedar sah TCIE yang ekstensif di seluruh negara. Ia menawarkan perkhidmatan UD Extra Mile Support yang merangkumi Servis dan Alat Ganti Tulen UD, Latihan Pemandu UD, Perkhidmatan Telematik UD serta UD Trust Service Agreements.

2019

  • Hits: 635

UD Trucks Extra Mile Challenge Mulakan Pencarian Pemandu Terbaik di Malaysia Bagi Meningkatkan Logistic Pintar

Pemandu trak terbaik di Malaysia yang berjaya menunjukkan kemahiran dalam logistik pintar pada edisi keempat UD Trucks Extra Mile Challenge (UDEMC) di Malaysia telah ditemui. Beliau ialah Khairul Nafsha Bin Ishak, pemandu trak berusia 36 dari Setia Maju Jaya Logistik Sdn Bhd.

Ini merupakan tahun kedua berturut-turut pemandu dari Setia Maju Jaya Logistik Sdn Bhd memenangi pertandingan UDEMC di Malaysia. Dengan kemenangan ini, Khairul Nafsha Bin Ishak perlu lebih kerap berlatih kerana dia akan mewakili Malaysia ke pertandingan Akhir Global UDEMC di Jepun tahun depan.

Kemenangan Khairul Nafsha Bin Ishak disahkan selepas mengikuti pertandingan pra-pemilihan yang berlangsung selama dua bulan serta bersaing dengan para pemandu trak lain dari seluruh negara. Dianjurkan secara bersama oleh UD Trucks dan rakan pengedar tunggalnya di Malaysia, Tan Chong Industrial Equipment Sdn Bhd (TCIE), UDEMC merupakan pertandingan tahunan yang menjadi sebahagian daripada visi logistik pintar UD Trucks. Pertandingan mesra pemandu itu bertujuan meningkatkan kemahiran pemandu dengan menambah baik pengetahuan dan kemahiran mereka, selain memaksimumkan keupayaan trak tugas berat UD Quester.

Format pertandingan yang perlu dijalani oleh semua peserta itu meniru kitaran operasi trak sebenar dan menilai pemandu dari tiga aspek utama. Pemeriksaan sebelum memandu, penjimatan bahan api dan pemanduan selamat, selain kemahiran menukar haluan serta memarkir. Para peserta bersaing menggunakan trak tugas berat UD Quester dan dinilai berdasarkan kepada kecekapan kos operasi, keupayaan mengurangkan tempoh tidak beroperasi serta kemahiran dan pemanduan yang selamat.

Tujuan utama struktur pertandingan itu meniru kitaran umum pengangkutan dan menggambarkan operasi menguntungkan dengan cara mengelak tempoh tidak dapat beroperasi, mengekalkan kos operasi yang rendah, mengelak kemalangan dan memastikan tempoh perjalanan yang pendek melalui pemanduan efisien. Semua ini mempunyai kaitan dengan kemahiran pemandu dan realiti perniagaan.

Pengarah Hub Malaysia UD Trucks, Steve Hedouin berkata, “Di UD Trucks, kami percaya bahawa masyarakat bergantung kepada fungsi logistik dan begitulah sebaliknya. Pemandu trak ialah tulang belakang kepada industri ini. Justeru, UDEMC direka dengan mengambil kira keperluan pemandu, sekali gus membuktikan komitmen kami untuk meningkatkan aspek pendidikan dan motivasi pemandu. Pada masa yang sama mengiktiraf wira tidak didendang dalam logistik pintar ini.”

Ketua Pegawai Operasi TCIE, Jaclyn Loy berkata, “UDEMC adalah pertandingan pertama seumpamanya yang memberi manfaat kepada pemandu dan syarikat. Sejak kami mulakan pertandingan ini beberapa tahun lalu, UDEMC telah menerima maklum balas memberangsangkan daripada para pelanggan. Ini membuktikan bahawa janji jenama kami untuk pergi lebih jauh dan menawarkan sokongan optimum kepada pelanggan dari segi penambahbaikan pemandu dan selepas jualan sememangnya bernilai dan memberi manfaat kepada mereka.”

Selain menjuarai pertandingan ini, Khairul Nafsha Bin Ishak juga mencatat markah terbaik dalam kategori “Kemahiran Memandu Terbaik”. Dua lagi pemandu yang memenangi kategori yang lain ialah Mohamed Firdaus Bin Shahrudin, pemandu trak berusia 33 tahun dari UPC Chemicals (Malaysia) Sdn Bhd yang memenangi kategori “Pemeriksaan Pra-Pemanduan Terbaik”. Manakala Mohd Azli Bin Mohd Nor, pemandu trak berusia 37 tahun dari Tenaga Nasional Berhad pula memenangi kategori “Penjimatan Bahan Api Terbaik”.

Khairul Nafsha Bin Ishak memberitahu dia sudah menjadi pemandu trak selama 11 tahun dan mula memandu UD Quester sejak dua tahun lalu.

“Pengalaman saya memandu UD Quester sememangnya terbaik kerana ia cukup berkuasa dan mudah dipandu kerana memiliki pelbagai ciri keselamatan dan teknologi termaju. Terdapat ciri Real Time Fuel Coach yang saya suka kerana ia memberi panduan kepada saya untuk mendapatkan penggunaan bahan api lebih baik. Dengan ciri itu , saya dapat menjimatkan bahan api bagi setiap perjalanan dan memberi lebih banyak keuntungan kepada syarikat. Kabinnya juga luas dan selesa yang mampu mengurangkan kepenatan sepanjang perjalanan jauh.

“Sebagai seorang pemandu trak yang menghabiskan banyak masa di atas jalan raya dan berjauhan dari keluarga, cukup penting untuk saya memandu sebuah trak yang boleh dipercayai bagi membantu saya menyelesaikan tugasan jarak jauh. Selain memastikan kargo yang dihantar berada dalam keadaan baik dan tiba tepat pada masanya. Ini membolehkan saya mengurangkan kos dari segi masa, tenaga dan bahan api. Dengan tempoh operasi trak yang konsisten, saya boleh menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga,” kata bapa kepada tiga orang anak itu.

Walaupun sangat gembira dengan kemenangannya, Khairul Nafsha Bin Ishak sebenarnya lebih teruja dengan perjalanan ke Jepun beberapa bulan lagi untuk bersaing dalam pertandingan Akhir Global UDEMC. “Ini merupakan kali pertama saya ke luar negara dan boleh mewakili Malaysia dalam pertandingan sememangnya satu penghormatan yang besar buat saya. Saya mendapat pengetahuan yang luas daripada UDEMC, selain mendapat banyak ilmu dan kesedaran tentang tugas saya sebagai seorang pemandu trak. Saya rasa lebih bangga sekarang. Sudah pasti saya akan berkongsi pengalaman berharga dengan rakan sekerja yang lain juga nanti.”

Khairul Nafsha Bin Ishak memenangi hadiah perjalanan yang ditanggung sepenuhnya ke Jepun, baucar Servis & Alat Ganti Quester bernilai RM2,000dan juga RM500 kerana memenangi kategori “Kemahiran Memandu Terbaik” dan sesi latihan pemandu eksklusif untuk semua pemandu dari Setia Maju Jaya Logistik Sdn Bhd.

Mohamed Firdaus Bin Shahrudin dari UPC Chemicals (Malaysia) Sdn Bhd dan Mohd Azli Bin Mohd Nor dari Tenaga Nasional Berhad, masing-masing membawa pulang baucar Servis & Alat Ganti Quester bernilai RM500.

2019

  • Hits: 626