Skip to main content

News in:  BM | TH | CN

Isuzu Menyambut Ulang Tahun-60 Elf

26 Ogos 2019 menandakan ulang tahun ke-60 pelancaran trak paling laris Isuzu, iaitu ELF. Trak yang kini menjadi pilihan utama untuk segmen trak tugas ringan di peringkat antarabangsa telah mula diperkenalkan oleh Isuzu Motors Japan pada Ogos 1959. Trak ELF sememangnya terkenal kerana keteguhan, inovasi yang berterusan dan kualiti tertinggi yang ditawarkan.

Sepanjang kitaran evolusinya, trak ELF telah melalui pelbagai pembaharuan, selain mencapai beberapa ‘milestones’ yang penting. Pada 1959, generasi pertama yang diperkenalkan merupakan trak 2 tan dengan rekaan ‘cab-over’, beserta enjin petrol 1.5 liter. Hanya pada tahun berikutnya, iaitu 1960, enjin diesel 2 liter diperkenalkan, menjadikan pembaharuan ini yang terulung untuk kelasnya. Seterusnya, pada tahun 1967, ianya digantikan dengan generasi kedua, di mana model ‘Isuzu Light ELF’ dilancarkan, dengan kapasiti dan prestasi enjin yang dipermaju.

Pada tahun 1975, generasi ketiga mula dilancarkan, dan menawarkan pelbagai pembaharuan yang menarik, sehinggakan pada tahun 1978, Isuzu mencatat sejarah kerana berjaya menjual unit trak ELF yang ke-sejuta. Generasi ketiga ELF juga telah melalui beberapa penambahbaikan, dan pada tahun 1980, ia berjaya mencapai piawaian emisi 1979 Jepun, di samping mempunyai bentuk luaran yang telah diolah dan dilengkapkan dengan badan ‘cab’ yang boleh condong.

Tahun 1984 menandakan pencapaian baharu bagi Isuzu apabila generasi keempat yang dilancarkan mula dieksport dan dikilangkan di beberapa negara luar, termasuk Amerika Syarikat, Australia dan China. Selain pembaharuan luaran, generasi keempat juga menawarkan inovasi teknologi enjin, dari enjin diesel suntikan terus, ke enjin diesel turbo. Di samping itu, versi pacuan empat roda ELF 250 juga telah mula diperkenalkan.

Generasi kelima dilancarkan pada tahun 1993, dan telah mengetengahkan pelbagai pembaharuan, antaranya enjin diesel yang lebih bersih dan penggayaan luaran yang ketara. Sepanjang 60 tahun, trak ELF telah melalui penambahbaikan dan inovasi teknologi yang membanggakan, sehinggakan kini, generasi keenam tampil dengan penggayaan tersendiri, kabin yang kukuh namun ringan, transmisi enjin yang lebih lancar, dan enjin diesel turbo yang bersih namun berkuasa tinggi.

Di Malaysia, Isuzu mula memperkenalkan rangkaian traknya pada tahun 1979. Sejak itu, trak tugas ringan ELF telah menjadi pengangkutan pilihan bagi perniagaan yang memerlukan trak yang berkualiti dan dipercayai, selain menawarkan penjimatan minyak yang lebih efisien. Tambahan pula, pemasangan trak Isuzu dijalankan secara tempatan, di kilang pembuatan Isuzu HICOM Malaysia, di Pekan, Pahang.

Sejak diperkenalkan, siri ELF terus menguasai segmen trak tugas ringan di Malaysia. Jumlah jualannya telah banyak menyumbang ke arah Isuzu mengekalkan kedudukannya sebagai ‘CV Paling Laris Keseluruhan’ di Malaysia untuk lima tahun berturut-turut, di samping mengekalkan kedudukan ELF sebagai ‘Trak Paling Laris dalam Segmen Tugas Ringan’ selama sembilan tahun berturut-turut.

Di peringkat antarabangsa, jumlah pembuatan Siri ELF telah melebihi 6.5 juta unit, dan kini boleh didapati di 146 negara di seluruh dunia. Selain daripada prestasi jualan yang mengagumkan di Malaysia, Siri ELF juga telah berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai No.1 dalam pasaran di 25 buah negara serata dunia.

Walaupun trak ELF dikenali kerana ketahanan, penambahbaikan produk yang berterusan serta kemajuan dalam teknologi diesel, namun di Malaysia, kepercayaan yang diberikan terhadap trak tugas ringan ini banyak berasaskan komitmen Isuzu dalam memastikan mutu kepuasan pelanggan yang tinggi. Melalui rangkaian pengedar sah serta pusat servis yang meluas, Isuzu Malaysia berbangga dapat menyediakan pengalaman selepas jualan yang terbaik, supaya rakan niaga dan pelanggan komersial mendapat perkhidmatan yang diperlukan, demi memastikan perniagaan mereka dapat berjalan dengan lancar dan lebih efisien.

Di Malaysia, Isuzu menawarkan pelbagai pilihan untuk trak tugas ringan ELF, dengan adanya 19 varian berbeza, antaranya 4-wheeler, 6-wheeler, 4x4 dan Crew-Cab, yang dilengkapkan dengan keluaran enjin dan prestasi yang menakjubkan, ruang dalaman yang berfungsi dan selesa, serta ciri-ciri keselamatan penting.

2019

  • Hits: 671

Volvo Trucks Bantu Golongan Kurang Bernasib Baik di Malaysia Dengan Sumbangan Trak Kepada Kechara Soup Kitchen

Volvo Trucks, salah satu jenama trak tugas berat paling berpengaruh di dunia, baru sahaja melancarkan inisiatif tanggungjawab korporat sosialnya. Ia melibatkan sumbangan sebuah trak tugas berat tegar Volvo FM330 4x2 yang lengkap dengan fabrikasi badan binaan khas untuk Kechara Soup Kitchen Society (KSK). KSK merupakan sebuah pertubuhan tidak berasaskan kepada keuntungan yang menyediakan makanan dan penjagaan kesihatan asas kepada golongan gelandangan dan miskin di Malaysia.


Inisiatif ini adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat Volvo Group di peringkat global yang dijalankan setiap tahun di seluruh dunia. Matlamat utamanya adalah untuk memberikan persekitaran berkebajikan yang lebih baik dan selesa kepada komuniti setempat dengan menyokong usaha-usaha kemasyarakatan.


Trak untuk KSK ini akan bertindak sebagai kenderaan pelbagai guna untuk mengumpul dan mengedar makanan, klinik dan ruang bergerak bagi menjalankan aktiviti-aktiviti penjagaan kesihatan dan pendidikan kepada golongan miskin di kawasan luar bandar.


Pengarah Urusan Volvo Malaysia, Mitch Peden berkata, “Kami di Volvo Trucks sangat teruja memilih KSK sebagai penerima dana tanggungjawab korporat sosial kami, Seasonal Gift. Keputusan untuk menyumbang sebuah trak kepada KSK sememangnya satu tindakan yang logik kerana semua kerja kebajikan mereka selari dengan nilai-nilai utama Volvo Trucks iaitu kualiti, keselamatan dan menjaga alam sekitar.


“Kerja-kerja kebajikan KSK menyumbang kepada pengurangan masalah kebuluran dan isu-isu sosial, lalu meningkatkan kualiti hidup golongan gelandangan dan keluarga miskin tanpa mengira latar belakang. Kami juga tahu bahawa KSK memang aktif dalam menjalankan program tabung makanan dan berdepan dengan pelbagai cabaran logistik. Jadi, kami percaya trak Volvo ini akan mampu membantu KSK beroperasi dengan lebih efektif demi manfaat masyarakat.


“Di Volvo Trucks, dedikasi kepada aspek tanggungjawab sosial bermakna kami menyokong pelbagai projek berkaitan kesihatan, keselamatan dan pendidikan. Kebanyakan komitmen sosial kami tertumpu kepada masyarakat setempat di mana kami boleh memberi kebaikan yang besar kepada mereka,” kata Peden.


KSK ditubuhkan pada tahun 2006 sebagai sebuah pertubuhan bukan berasaskan kepada keuntungan yang memberi khidmat pengagihan makanan, minuman dan pertolongan cemas asas secara percuma kepada golongan gelandangan serta mereka yang memerlukan, tanpa mengira bangsa atau agama. Selama beberapa tahun, KSK juga menubuhkan klinik bergerak yang menawarkan pemeriksaan kesihatan dan perkhidmatan kaunseling secara percuma kepada kumpulan gelandangan serta miskin. Di samping itu, ia juga mengadakan program tabung makanan hasil kerjasama dengan jenama-jenama seperti Tesco, AEON, Munchy’s dan The Westin Hotel. Pertubuhan ini beroperasi berasaskan kepada motto ‘Kelaparan tidak mengenal Sempadan’ (Hunger Knows No Barriers). Ia percaya bahawa belas ehsan yang diberikan kepada mereka yang tidak bernasib baik perlu diperluaskan lagi. Sejak ia ditubuhkan, KSK telah memberi lebih 1.5 juta makanan.


Presiden KSK, Henry Ooi berkata, “Kami sangat gembira untuk menerima sumbangan ikhlas daripada Volvo Trucks dan rakan industri yang menyokong inisiatif ini. Setiap hari, program tabung makanan kami akan mengutip lebihan makanan mentah daripada penderma sebelum diagihkan ke banyak lokasi. Dalam melaksanakan tugas ini, pemandu kami terpaksa mengulang-alik perjalanan kerana kami hanya mempunyai sebuah kenderaan kecil. Sumbangan trak dan inisiatif mengumpul dana yang diilhamkan oleh Volvo Trucks ini tentu akan meningkatkan tahap kecekapan dan kapasiti kami, justeru menjimatkan masa dan mengurangkan pembaziran makanan. Sudah pasti kami akan dapat bantu lebih ramai golongan yang memerlukan. Oleh itu, kami amat berterima kasih.”


Ooi juga menyatakan bahawa misi jangka masa panjang KSK adalah untuk mengurangkan jumlah gelandangan yang tinggal di jalanan dengan cara menyediakan sebuah bangunan sebagai pusat latihan serta bantuan. Ini bagi membantu golongan itu mendapat kerja dan kembali masuk ke dalam masyarakat.


Mengulas mengenai sumbangan trak, Volvo Trucks memberitahu ia bakal mengambil masa beberapa bulan untuk memastikan trak berkenaan siap. Ini kerana ia melibatkan pelbagai aspek seperti reka bentuk, merancang, membina badan trak binaan khas, mendapatkan lesen dan kelulusan. Jadi, penyerahan trak jangka dilakukan pada suku kedua tahun depan.


Selaku penaja utama, Volvo Trucks akan menyumbang chasis trak dan bekerjasama dengan rakan industri Seri Zenith Engineering Sdn Bhd, pengilang semi-trailer dan badan kenderaan komersial untuk merancang serta memfabrikasi badan trak khas bagi kegunaan KSK.


Menurut Peden, dana yang diperlukan untuk fabrikasi badan trak adalah berjumlah RM150,000. Volvo Trucks berharap dapat mengumpul dana berkenaan dan ingin menjemput para pemain industri untuk menaja pakej Platinum bernilai RM15,000 atau pakej Emas sebanyak RM5,000.

Setakat ini, selain Seri Zenith Engineering, pemain industri lain yang telah mengesahkan untuk mengambil bahagian dalam inisiatif mengumpul dana sebagai penaja Platinum ialah Taipanco Sdn Bhd dan Asian Trucker Media Sdn Bhd. Manakala Association of Malaysian Hauliers (AMH) dan Aimtrans Logistics (M) Sdn Bhd pula menjadi penaja Emas. Semua logo penaja Platinum akan dilekatkan pada badan trak.


Semua lebihan dana daripada kos fabrikasi badan trak akan disumbangkan kepada KSK. Mana-mana pihak yang ingin membuat sumbangan boleh berhubung dengan ibu pejabat Volvo Trucks di Shah Alam atau menyumbang secara terus ke nombor akaun Maybank Kechara Soup Kitchen - 5122-3133-4874 dan rujuk kepada ”Volvo Food Truck”. Semua sumbangan untuk inisiatif ini layak untuk menerima pengurangan cukai.


Selain menyumbang sebuah chasis trak dan mengetuai insiatif ini, Volvo Trucks juga akan membayar kos mendapatkan Lesen Membawa Barang (GDL) untuk pemandu, pembaikan dan penyelenggaraan trak. Bukan itu sahaja, Volvo Trucks juga akan menyediakan latihan percuma kepada pemandu trak KSK untuk bagaimana memaksimumkan semua ciri keselamatan dan penjimatan bahan api yang ada pada trak Volvo FM.


“Sebagai jenama peneraju trak tugas berat dalam industri, adalah penting bagi kami untuk mengalu-alukan dan menggalakkan komuniti trak untuk sama-sama menjadi sebahagian daripada projek yang penuh makna ini. Kami percaya projek ini boleh menjadi satu inisitif kemasyarakatan yang hebat dan memberi kesan lebih besar. Bukan sekadar menyumbang sebuah trak, saya juga tidak sabar untuk menggalakkan semua kakitangan Volvo Trucks dan pelanggan supaya turut serta dalam pelbagai kerja-kerja kebajikan yang dikendalikan oleh KSK. Apa yang pasti, kami mahu mencipta nilai dan kelestarian dalam kalangan msyarakat di mana kami beroperasi,” kata Peden.


Peden juga memberitahu bahawa Malaysia ialah salah satu daripada tujuh negara di mana Volvo beroperasi di peringkat global yang telah dianugerahkan dengan dana tanggungjawab sosial korporat Seasonal Gift. Ini merupakan kali kedua Volvo Trucks di Malaysia menerima dana tersebut.


Pada tahun 2017, Volvo Trucks menggunakan dana itu untuk komuniti Bario di Sarawak dengan membina sistem pemadam api di rumah panjang. Selain membina lima pondok eko di sepanjang laluan warisan masyarakat Kelabit di dalam hutan.


“Ini memang membuktikan pentingnya pasaran Malaysia kepada kami. Persetujuan yang diterima daripada ibu pejabat global untuk menjalankan projek-projek kebajikan berimpak tinggi dan menyumbang kembali kepada komuniti di sini nyata membuatkan ulang tahun ke-50 di Malaysia pada tahun ini lebih bermakna,” kata Peden.

2019

  • Hits: 625

Tenaga Nasional Berhad tambah jumlah trak UD dalam rangkaian kenderaannya

UD Trucks dan rakan pengedar tunggalnya Tan Chong Industrial Equipment Sdn Bhd (TCIE) berbesar hati mengumumkan bahawa Tenaga Nasional Berhad (TNB), pembekal elektrik terbesar untuk perniagaan, rumah dan industri di Malaysia telah membeli enam unit trak tugas sederhana iaitu UD Croner. Pembelian itu menjadikan TNB kini sudah memiliki 78 unit kenderaan UD Trucks.


Majlis rasmi penyerahan kenderaan telah diadakan di ibu pejabat TNB dan ia dihadiri oleh pasukan pengurusan kanan dari Jabatan Fleet Management TNB, UD Trucks dan TCIE. UD Croner akan digunakan untuk mengangkut bahan api diesel bagi kegunaan set janakuasa bergerak TNB sewaktu operasi di lokasi.


Ketua Jabatan Fleet Management TNB, Dato’ S. Viswanathan dalam ucapan ringkasnya sewaktu majlis penyerahan berkata, “Selaku pembekal utama elektrik negara, peranan TNB adalah memastikan para pelanggan menerima bekalan elektrik dari sistem rangkaian kami. Pembelian trak tugas sederhana UD Croner akan digunakan sebagai trak sokongan untuk mengangkut bahan api diesel bagi kegunaan set janakuasa bergerak jika berlaku gangguan bekalan yang tidak dijangka.


“Kami perlu menggerakkan set janakuasa bergerak dengan pantas untuk meminimumkan tempoh keputusan bekalan elektrik. Set janakuasa bergerak yang dipasang di atas trak tugas berat UD Quester perlu berada di lokasi-lokasi tertentu. Ia juga perlu diisi minyak diesel dari semasa ke semasa agar terus dapat beroperasi.”


Tahun lalu, TNB membeli sembilan unit trak tugas berat UD Quester yang terdiri daripada tujuh unit trak 18 tan dan dua unit trak 24 tan. UD Quester kini digunakan sebagai set janakuasa bergerak di seluruh negara.


Pengarah Urusan UD Trucks Hub Malaysia & Oceania, Steve Hedouin berkata, “UD Trucks berbesar hati kerana TNB mengambil keputusan untuk membeli UD Croner bagi memberi sokongan kepada set janakuasa bergerak UD Croner dibina khas untuk pasaran-pasaran membangun seperti Malaysia dengan mengambil kira aspek versatiliti, tempoh operasi dan keselamatan. Ia merupakan salah satu trak yang paling menjimatkan bahan api dalam kategorinya kerana ia menggabungkan siri enjin baharu dan rekaan kabin yang lebih aerodinamik. Trak ini dibina dan direka untuk menawarkan lebih produktiviti dan tempoh operasi yang mengagumkan. Kami benar-benar percaya bahawa UD Croner akan dapat memenuhi keperluan TNB sebaiknya.”


Menurut Jabatan Fleet Management TNB, terdapat banyak maklum balas positif daripada para pemandu mengenai UD Croner. Antaranya, trak ini mudah dipandu, selesa untuk perjalanan jauh dan mempunyai sistem amaran keselamatan yang mantap. Trak ini juga memiliki sistem bimbingan bahan api yang dapat meningkatkan tingkah lakupemanduan dengan menggalakkan pemandu menggunakan rev secara optimum dan mengurangkan pecutan yang tidak perlu. Malah, perkhidmatan selepas jualan TCIE yang pantas juga mendapat pujian.


Ketua Pegawai Operasi TCIE, Jaclyn Loy berkata, “Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada TNB kerana menaruh kepercayaan serta keyakinan ke atas UD Trucks dan TCIE dalam menawarkan penyelesaian pengangkutan yang boleh dipercayai. Ini benar-benar membuktikan kejayaan hubungan dengan pelanggan yang berpaksikan kepada janji jenama kami iaitu “Going the Extra Mile”. Ini merangkumi produk berkualiti dan sokongan selepas jualan terbaik yang kami sediakan kepada TNB.”

2019

  • Hits: 631